SHAH ALAM – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa bergantung kepada kerusi roda selepas saraf kaki kanannya rosak 50 peratus akibat dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian pada 23 Mac lalu.
Muhammad Daiyyan Syahid Roslan mengalami kecederaan serius dari lutut hingga ke jari kaki, sekali gus memerlukan pembedahan dan tempoh pemulihan yang panjang.
Kakaknya, Nur Ain Natasya Roslan, 19 memaklumkan, kejadian berlaku ketika adiknya sedang bermain bersama saudara di tepi rumah nenek mereka di Jerantut, Pahang pada hari ketiga sambutan Aidilfitri.
Menurutnya, ketika itu ahli keluarga lain berada berhampiran sebelum dia terdengar jeritan kuat yang pada awalnya disangka gurauan.
"Saya baru naik ke rumah nenek, kemudian dengar jeritan kuat dua kali. Bila turun, saya nampak abang sudah angkat adik saya dan bawa ke rumah.
"Abang saya menyedari sebuah kereta jenis Proton Waja dipandu laju sebelum melanggar adik saya," katanya kepada Sinar Harian.
Nur Ain Natasya memberitahu, kenderaan terbabit merupakan kereta persendirian, namun difahamkan dipandu oleh seorang anggota polis yang ketika itu bertugas dengan berpakaian preman.
Menurutnya, setakat ini hanya seorang daripada empat individu yang menaiki kereta itu tampil memohon maaf, manakala perkembangan lanjut daripada pihak berkuasa masih belum diperoleh.
Mengulas keadaan Muhammad Daiyyan Syahid, dia sudah menjalani pembedahan bagi membuang batu serta memperbaiki saraf yang rosak.
"Alhamdulillah tiada patah tulang, tetapi saraf kaki kanan rosak 50 peratus dan tidak dapat diselamatkan sepenuhnya.
"Doktor jangka tempoh pemulihan mungkin mengambil masa sehingga dua tahun," jelasnya.
Dalam pada itu, Nur Ain Natasya memaklumkan pihak keluarga telah mendapatkan khidmat peguam dan kini dalam proses mengumpul bukti bagi tindakan lanjut.
"Kes sedang dalam proses. Kami akan teruskan tindakan sewajarnya," ujarnya.





