
PELAWAK dan usahawan, Shuib Sepahtu berkongsi keadaan isteri, Watie Hanifiah yang kini sarat hamil anak kelimanya.
Menerusi perkongsian di media sosial, Shuib memaklumkan Watie yang kini sedang mengandung lapan bulan baru sahaja selamat tiba di rumah selepas beberapa hari berada di negara jiran itu.
"Alhamdulillah mummy sudah selamat sampai rumah. Beberapa hari di Singapura dengan Talita dan yang lain-lain berniaga," kongsinya.

Katanya, Watie memang seorang yang sangat bersemangat apabila melibatkan soal kerja. Keadaan Watie menunjukkan ciri kandungan yang semakin sarat termasuk bengkak pada kaki.
Menurut Shuib, keadaan itu kemungkinan berpunca daripada aktiviti yang padat sepanjang berada di luar negara, selain isterinya yang terlalu komited terhadap perniagaan sehingga kadangkala terlupa menjaga diri. Keadaan itu sedikit mengimbau kehamilan Allahyarham Siti Sarah.
"Balik tengok kakinya sudah bengkak macam ni.
"Mula-mula dia risau, tapi cakap kepada dia yang dulu Sarah semua anak kaki dia pun bengkak. Ye lah, tu banyak berdiri, travel. Haih mummy ni," kongsinya.

Dalam masa sama, Shuib menyifatkan usaha isterinya itu sebagai satu pengorbanan luar biasa memandangkan Watie kini sedang sarat hamil dan dijangka bersalin kurang sebulan dari sekarang.
"Dia memang sejenis yang kalau berniaga terus lupa semua, semangat sungguh! Inilah pengorbanan yang sangat luar biasa daripada seorang wanita hamil lapan bulan.
"Semoga ALLAH permudahkan kesihatan mummy, baby dan urusan bersalin nanti awal bulan April insya-ALLAH.
"Mohon doakan mummy ya, semoga doa itu berbalik kepada kamu juga. Amin ya rab," kongsinya.
Menerusi ruangan Insta Story, Watie berkongsi keadaan kakinya yang membengkak selepas berdiri selama 45 jam.
"Dari saiz 38 sudah jadi 43," titipnya diakhiri emoji ketawa.
Sekadar info, Watie dan Shuib diijab kabul pada 23 Jun 2023.
Shuib terdahulu memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, 15, Dzahira Talita Zahra, 13, Ariq Matin, 10, Ayash Affan, 5.

