
Kota Kinabalu: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Usahawan Bersatu Sabah (USECCI) menggesa Kerajaan membuat penerbangan khas atau langsung dari China ke destinasi seperti Semporna melalui Lapangan Terbang Tawau.
Presiden USECCI Abdul Raja Hai Abdul Mohammad berkata penerbangan sedemikian boleh memudahkan pelancong dari negara seperti China yang sering mengembara melalui Tawau.
“Ia akan lebih selesa bagi mereka sekiranya terdapat sekurang-kurangnya dua penerbangan khas atau langsung sebulan dari China,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.
Beliau berkata, ketika ini pelancong dari China perlu mengambil penerbangan dari Republik itu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau dari China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sebelum mengambil penerbangan lain melalui Tawau.
“Ia agak menyusahkan untuk mereka menaiki dua hingga tiga penerbangan sebelum sampai ke Semporna.”
Inisiatif sedemikian, katanya, adalah penting kerana China telah membuka semula sempadannya selepas menutup pintu negara itu selama hampir tiga tahun.
Menurut laporan, Beijing bulan lalu memulakan penamatan dramatik strategi sifar Covid-19, yang sebelum ini menguatkuasakan kuarantin mandatori dan sekatan amat ketat.
Ia mengatakan dasar itu memberi impak besar kepada ekonomi kedua terbesar dunia itu dan membangkitkan kemarahan seluruh masyarakat yang membawa kepada bantahan di seluruh negara sejurus sebelum ia dilonggarkan.
Laporan itu juga mengatakan rakyat China tergesa-gesa merancang perjalanan ke luar negara selepas pegawai bulan lalu mengumumkan bahawa syarat kuarantin akan digugurkan, menyebabkan lonjakan pertanyaan di laman web pelancongan popular.
Bagaimanapun, peningkatan pelawat yang dijangka itu menyebabkan lebih sedozen negara mengenakan syarat ujian wajib Covid-19 ke atas pelancong dari negara paling ramai penduduk di dunia itu.
Abdul juga berharap Kerajaan Persekutuan dan juga Negeri akan mencari jalan alternatif dan pendekatan baharu untuk meningkatkan eko-pelancongan di negeri ini.
“Eko-pelancongan boleh menjana ekonomi yang lebih baik untuk negara dan Negeri pada tahun ini,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


