Saranan Rosyam Nor Ibarat Merendahkan Martabat Wanita – Nancy Shukri

10 Jan 2024 • 12:54 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sejak Isnin (8 Januari) yang lalu, hangat diperkatakan mengenai cadangan pembukaan pusat pelacuran di Malaysia oleh pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Rosyam Nor.

Rosyam mencadangkan pembukaan pusat pelacuran bagi warga asing untuk mereka melepaskan nafsu serta dapat mengelakkan daripada rakyat Malaysia menjadi sasaran.

Cadangan pelakon utama filem Castello ini nyata mendapat perhatian dan kritikan ramai.

Malah, isu ini turut mendapat perhatian golongan profesional dan agamawan seperti Mufti Pulau Pinang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) dan pendakwah terkenal seperti Ridhuan Tee serta PU Syed.

Nancy Shukri Anggap Cadangan Rosyam Nor Ibarat Merendahkan Martabat Wanita

Saranan Rosyam yang mencadangkan pusat pelacuran diwujudkan di negara ini disifatkan sebagai merendahkan martabat kaum wanita.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, kaum Hawa berhak mendapat pengiktirafan dan layanan yang baik daripada menjadi ‘alat’ dalam menyelesaikan masalah sosial.

“Kesedaran dan publisiti yang positif terhadap hak serta sistem sokongan kepada wanita perlu ditanam serta disebarkan kepada umum.

“Cadangan atau gurauan sensitif terhadap wanita tidak boleh dijadikan normalisasi apatah lagi secara terangan bercanggah daripada undang-undang, prinsip, nilai kekeluargaan, budaya dan agama,” kata beliau.

Beri Tumpuan Kepada Usaha-Usaha Memperkasakan Wanita

Tegas beliau lagi, pihaknya akan sentiasa memberi fokus kepada usaha-usaha yang memperkasakan kaum wanita.

Antaranya melalui pelbagai program yang dapat meningkatkan penglibatan dan kapasiti mereka dalam pelbagai sektor serta dapat menyumbang dan menjadi agen pembangunan negara.

“Kerajaan menyediakan ekosistem terbaik dan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan golongan terbabit mempunyai peluang yang adil serta memiliki kerjaya lebih baik.

“Kami juga mempunyai sifar toleransi dalam apa jua bentuk keganasan terhadap wanita sama ada secara fizikal, seksual, emosi, mahupun psikologi.

“Saya percaya rakyat Malaysia adalah rakyat yang berilmu dan bertamadun. Kita perlu bertindak untuk menunjukkan contoh yang terpuji kepada generasi akan datang,” ujarnya.

Source: