
Sarawak tidak memerlukan import hidrogen dari luar
Sarawak Ada Bahan Mentah Mencukupi, Premier Yakin Hidrogen Boleh Berjaya. Dilaporkan, Sarawak mempunyai kelebihan besar dalam industri hidrogen berbanding negara lain, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Menurutnya, banyak negara gagal dalam pengeluaran hidrogen kerana mereka tidak memiliki bahan mentah (feedstock) yang mencukupi, sesuatu yang bukan masalah bagi Sarawak.
“Ada negara gagal kerana mereka tiada bahan mentah. Mereka terpaksa import, dan ini meningkatkan kos. Tapi Sarawak bernasib baik, kita boleh hasilkan hidrogen dari air menggunakan tenaga hidro, malah kita boleh hasilkan hidrogen lain melalui gas sintetik,” jelasnya dalam satu majlis di Kuching.
Abang Johari turut menerangkan bahawa dengan mencampurkan hidrogen dan karbon, ia boleh menghasilkan metana, yang boleh digunakan untuk menjana tenaga.

Rancangan hingga 2050, Sarawak fokus tenaga masa depan
Sarawak bukan sahaja merancang sehingga 2030, tetapi juga melangkaui tahun 2035 hingga 2050 untuk manfaat generasi akan datang.
“Saya tak pasti sama ada saya masih ada waktu itu sebab saya pun dah tua. Tapi perancangan kita mesti sampai 2050 untuk anak cucu kita,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat tujuh hasil sampingan yang boleh dihasilkan sepanjang proses pengeluaran metana daripada karbon dan hidrogen, tetapi masih belum mendedahkan butiran lanjut.
“Saya ada berbincang dengan pakar kimia semalam. Dia sebut dua produk, tapi sebenarnya ada tujuh byproduct dalam proses ini. Itu sebabnya kita perlukan tenaga kerja mahir dan saintis untuk menambah nilai dalam industri ini,” tambahnya.
Dengan sumber semula jadi yang mencukupi, Sarawak kini bersedia dalam pengeluaran hidrogen dan tenaga bersih untuk masa depan!
Lagi berita terkini untuk anda di sini:



