Sarawak, Airbus bergabung bangunkan industri aeroangkasa negeri

LocalBusiness & Finance
6 May 2025 • 10:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak, Airbus bergabung bangunkan industri aeroangkasa negeri

image is not available

06/05/2025 - 10:33

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (empat dari kanan) ketika mengunjungi Kampus Airbus dan ibu pejabat pengeluar pesawat turboprop, ATR di Toulouse, Perancis, baru-baru ini. Gambar/FB Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Mei - Kerajaan Sarawak dan syarikat aeroangkasa terkemuka global, Airbus, bekerjasama bagi membangunkan pelan induk untuk industri aeroangkasa negeri Sarawak.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Pasukan Petugas Bersama Sarawak-Airbus itu ditubuhkan untuk menggabungkan kepakaran industri melalui kerjasama dan perbincangan dengan pakar bagi merangka pelan tersebut.

"Usaha ini dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan untuk industri penerbangan, membuka peluang baharu untuk kemajuan sektor ini di peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak.

Abang Johari menyatakan, penubuhan pasukan berkenaan adalah satu daripada enam bidang utama kerjasama strategik yang dipersetujui oleh kerajaan Sarawak dan Airbus semasa lawatan rasmi beliau ke Kampus Airbus dan ibu pejabat pengeluar pesawat turboprop, ATR di Toulouse, Perancis, baru-baru ini.

Beliau berkata, Airbus juga akan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk membangunkan tapak seluas 40.5 hektar di negeri tersebut yang akan berfungsi sebagai hab bersepadu untuk menyokong ekosistem industri penerbangan.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) yang kini sedang dibangunkan di Sarawak.

Premier Sarawak itu berkata, Airbus bersetuju bekerjasama dengan institusi tempatan seperti Kolej Universiti ICATS bagi membangunkan program latihan dan pembelajaran dalam bidang aeroangkasa untuk melahirkan tenaga kerja mahir.

Beliau menambah, Airbus juga akan membantu Sarawak meneroka potensi pembuatan bahan komposit, kulit tiruan dari gas dan teknologi kapal terbang menggunakan kecerdasan buatan (AI). - DagangNews.com

standard