
Sarawak Bakal Buka Kilang Gardenia Pertama
Kim Tek Cheong Consolidated Berhad (KTC) mengumumkan pelaburan bernilai 30 juta ringgit bagi menubuhkan Gardenia Bakeries Sarawak Sendirian Berhad menerusi kerjasama strategik bersama Yayasan Sarawak lapor AWANI.
Difahamkan, projek itu merangkumi pembinaan kilang di tapak seluas 7.56 ekar di Kota Samarahan dan dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Dato' Amar Dr. Sim Kui Hian, pelaburan itu bukan sahaja meningkatkan akses bekalan produk makanan malah memperkasa pembangunan industri tempatan.
Pembinaan kilang ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Sarawak, selain membolehkan perkongsian teknologi, tenaga kerja dan manfaat ekonomi dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat tempatan.
"Secara asasnya, kami sangat bersyukur atas peluang ini. Kita dapat melihat peningkatan trend dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), di mana roti Gardenia semakin mendapat sambutan hangat.
"Saya dapati ramai orang Sarawak membawa pulang roti Gardenia setiap kali mereka menaiki penerbangan. Oleh itu, kami amat berterima kasih kerana mereka sudi mendirikan kilang di sini, sekurang-kurangnya lebih ramai rakyat kita dapat menikmati roti Gardenia.
"Sangat bagus untuk mereka datang ke sini, bukan sekadar datang secara bersendirian, tetapi untuk mencari rakan kongsi bersama kami. Dengan ini, pengeluaran dapat dijalankan melalui perkongsian teknologi, tenaga kerja, serta berkongsi keuntungan bersama kami, masyarakat tempatan, dan terutamanya dengan Yayasan Sarawak." katanya
Malah, Gardenia turut merancang untuk memperkenalkan “Gardenia Sarawak Edition” produk dan pembungkusan eksklusif yang diinspirasikan daripada identiti, budaya serta keunikan Bumi Kenyalang sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Sarawak.
Kehadiran kilang itu juga dijangka merancakkan rantaian bekalan industri makanan di Sarawak, selain menyokong usaha kerajaan negeri menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke wilayah itu.
Beliau berkata kerajaan negeri turut mengalu-alukan kerjasama dengan rakan tempatan bagi memastikan pembangunan kilang itu memberi nilai tambah kepada ekonomi Sarawak melalui perkongsian teknologi, tenaga kerja dan keuntungan.
Baca juga:"Sangat baik bagi mereka untuk datang ke sini, bukan sahaja datang bersendirian tetapi untuk mencari rakan kongsi bersama kami supaya produk ini dapat dihasilkan melalui perkongsian teknologi, tenaga kerja, dan keuntungan bersama kami, komuniti tempatan, dan khususnya dengan Yayasan.
"Ini adalah keperluan asas (bread and butter) kita. Tidak semua perkara yang kita lakukan adalah semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan, tetapi ia adalah sesuatu yang sangat strategik bagi kami." katanya lagi.
Pada masa yang sama, Dr. Sim menjelaskan proses pembangunan kilang itu masih tertakluk kepada pengumuman rasmi syarikat dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan sebelum ia dapat dilaksanakan.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan pemeteraian MOU antara Kim Tek Cheong Consolidated Sendirian Berhad, Yayasan Sarawak dan Sanjung Etika Sendirian Berhad di Kuching.






