Sarawak belum teroka sepenuhnya potensi minyak dan gas, hanya fokus kepada aktiviti huluan - Petros

17/07/2025 - 11:54
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 17 Julai - Sarawak masih belum meneroka sepenuhnya potensi dalam sektor minyak dan gas kerana tumpuan banyak diberikan kepada aktiviti huluan, kata Naib Presiden Kanan Pertumbuhan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), Datuk Joseph Podtung.
Beliau berkata, asas industri yang terbatas di Sarawak mengehadkan daya tahan ekonomi negeri itu kerana terlalu bergantung kepada aktiviti sektor utama.
“Asing, eksport, ulang. Itulah kitarannya. Tiada pembangunan kukuh dalam aktiviti pertengahan atau hiliran, tiada ekosistem perkhidmatan sokongan, dan tiada kesan pengganda.
“Jika terus mengeksport, kita akan terlepas peluang yang jauh lebih besar. Membangunkan industri domestik akan mewujudkan rantaian nilai, pekerjaan dan inovasi. Inilah cara kita membina daya tahan jangka panjang.
“Ini bukan soal memilih antara LNG (gas asli cecair) dan kegunaan domestik. Ini soal membuka lebih banyak potensi. Lebih banyak untuk kegunaan Sarawak sendiri. Lebih banyak nilai yang dikekalkan. Lebih banyak persiapan untuk masa depan.
“Ia bukan hanya menguntungkan Sarawak, malah Malaysia secara keseluruhan. Kita sedang beralih daripada pemikiran berasaskan jumlah kepada pemikiran berasaskan nilai,” katanya semasa sesi pleno bertajuk Sarawak Gas Roadmap: Unlocking the Potential of Natural Gas for a Sustainable Future di International Energy Week 2025 yang berlangsung di Kuching.
Joseph berkata, gas asli adalah kunci bagi Petros untuk bergerak ke arah aktiviti hiliran, membangunkan hidrogen, dan menjana industri baharu di seluruh Sarawak.
Beliau turut menggariskan empat hab serantau sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Gas Sarawak, masing-masing memainkan peranan dalam memperluas ekosistem tenaga negeri itu iaitu di Miri, penerokaan gas darat disambung semula selepas 30 tahun, bersama dengan loji janakuasa 500 megawatt yang dijangka siap menjelang 2027.
Di Samalaju pula, saluran paip Bintulu-Samalaju yang dijangka siap tahun ini akan membekalkan tenaga kepada industri berat. Bintulu pula sedang maju dalam sektor hiliran dengan loji metanol yang telah pun beroperasi.
Bagaimanapun, di Kuching masih tiada saluran paip dan bergantung kepada gas petroleum cecair dan diesel fosil yang diimport.
“Tanpa tindakan segera, Kuching berisiko ketinggalan dalam peralihan kepada ekonomi rendah karbon, tetapi Kuching mempunyai kelebihan — akses kepada tenaga bersih, kualiti hidup yang menarik bakat, dan kedudukan strategik berhampiran 30% laluan perdagangan maritim global,” katanya.
Beliau juga berkata, pembangunan rendah karbon di Kuching akan berlaku dalam tiga gelombang.
Gelombang pertama akan menyaksikan permulaan projek LNG-ke-tenaga. LNG akan dihantar melalui unit penyimpanan dan regasifikasi terapung (FSRU) serta saluran paip dasar laut, yang akan membekalkan gas kepada loji janakuasa kitaran gabungan yang baharu.
Ia akan menyediakan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan rendah karbon untuk Kuching dan wilayah Borneo secara amnya.
Gelombang kedua akan membina asas ini dengan membangunkan taman perindustrian rendah karbon untuk menarik industri bernilai tinggi. Ini termasuk petrokimia rendah karbon, kluster hidrogen dan sektor digital.
“Fasa terakhir pula akan mengubah hab rendah karbon Kuching menjadi destinasi pelaburan global, dengan tumpuan kepada produk hiliran bernilai tambah tinggi seperti hidrogen rendah karbon untuk pembuatan keluli, dan ammonia rendah karbon untuk baja serta bahan kimia khusus lain,” katanya.
Beliau turut mendedahkan, seorang perancang induk bertaraf global akan dilantik untuk merangka pelan induk bagi Hab Rendah Karbon dan Pelabuhan Laut Dalam Kuching.
Petros sebelum ini telah mendapatkan dua rakan kongsi utama, iaitu China Jiangsu International dan Sumitomo Corporation, bagi menyediakan modal, kepakaran dan rangkaian pelabur global untuk membangunkan Hab Perindustrian Rendah Karbon Kuching.
“Dengan mewujudkan permintaan yang kukuh di Kuching, ia membuka keperluan untuk terus membangunkan sumber luar pesisir. Kita kini mempunyai laluan berasaskan permintaan untuk membuka rizab yang belum diteroka di Sarawak Barat, termasuk gas asli dan pembangunan CCS (penangkapan dan penyimpanan karbon),” katanya.
Apabila mencapai skala penuh, Pelan Induk Gas Sarawak (SGR) dijangka menarik pelaburan sebanyak RM300 bilion dan menjana hasil tahunan sebanyak RM120 bilion, yang menurut beliau, hampir menyamai unjuran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka menghasilkan RM125 bilion.- DagangNews.com
standard

