Sarawak Cadang Guna Teknologi Dari Kanada, Gali Mineral Bernilai RM1.25 Trilion

19 Jun 2024 • 1:43 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kerajaan Sarawak bercadang untuk menggunakan teknologi perlombongan terbaharu dari Kanada bagi menggali sumber mineral seperti emas, bauksit dan bahan bumi bernilai lebih RM1.25 trilion yang terdapat di tanah negeri tersebut.

Memetik laporan Malaysiakini, Timbalan Premier Menteri Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan menyatakan bahawa negeri tersebut mempunyai kemungkinan untuk mengesan lebih banyak lokasi yang mengandungi mineral berharga dengan nilai tinggi.

image is not available

Foto: The Sun

Jelasnya, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Jabatan Geologi Sarawak, nilai mineral pada masa kini dianggarkan mencecah lebih daripada RM1.25 trilion.

“Hasil kajian Jabatan Geologi, dianggarkan nilai mineral yang ada mencecah lebih daripada RM1.25 trilion.
“Jadi kita akan perluaskan lagi kajian kita, kalau tidak dapat seluruh Sarawak sekurang-kurangnya tambahan 20 peratus keluasan tanah lagi.
“Selain emas, antara mineral yang terdapat di negeri ini ialah bauksit, pasir silika, batu kapur dan nadir bumi dan terdapat potensi besar untuk lebih banyak penemuan,” katanya kepada media baru-baru ini.

Sementara itu, Awang berkata, terdapat juga simpanan emas besar telah ditemui di daerah Sri Aman yang sebelumnya hanya dikesan di daerah Bau.

image is not available

Foto: Pixabay

Susulan itu, beliau yang telah mengetuai rombongan Sarawak ke Micassa Gold Mine di Kirkland, Toronto Kanada memaklumkan bahawa pihaknya sedang merancang untuk membawa masuk teknologi perlombongan baharu dari negara tersebut ke bumi kenyalang.

“Kami di Sarawak akan menggunakan teknologi mereka di sini,” ujarnya.

Sumber: Malaysiakini