Sarawak Consolidated raih kontrak EPCC RM32.78 juta bina sekolah di Sabah

LocalBusiness & Finance
24 Apr 2026 • 6:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak Consolidated raih kontrak EPCC RM32.78 juta bina sekolah di Sabah Image from: Sarawak Consolidated raih kontrak EPCC RM32.78 juta bina sekolah di Sabah hamden24/04/2026 - 18:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 April - Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, SCIB Industrialised Building System Sdn Bhd (SIBS), memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM32.78 juta membina Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balaban Jaya di Beluran, Sabah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SCIB berkata kontrak tersebut dianugerahkan oleh Belian Juta Sdn Bhd merangkumi pembinaan 18 bilik darjah bersama kemudahan sokongan lain mengikut spesifikasi standard infrastruktur pendidikan negara.

 

Menurut SCIB, projek itu dijadualkan bermula pada 27 April 2026 dan dijangka siap pada 29 November 2027, dengan tempoh pelaksanaan kira-kira 19 bulan.

 

“Kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh pembinaan, dengan pengiktirafan hasil dibuat secara berperingkat berdasarkan kemajuan projek,” kata syarikat itu.

 

SCIB berkata, kejayaan tersebut mengukuhkan lagi kehadirannya dalam segmen EPCC, khususnya di Malaysia Timur yang terus mencatat pertumbuhan dalam projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam.

 

Pengerusi Eksekutif SCIB, Datuk Chong Loong Men berkata, kemenangan kontrak itu membuktikan keupayaan syarikat dalam melaksanakan projek infrastruktur pendidikan secara berkesan.

 

“Sabah kekal sebagai pasaran pertumbuhan penting bagi kami. Kontrak ini turut memperkukuh kehadiran SCIB di Malaysia Timur ketika kami meneruskan pelaksanaan pelan strategik untuk memfokuskan kepada perniagaan teras pembinaan dan EPCC,” katanya.

 

SCIB sebelum ini turut melaksanakan langkah penyusunan semula strategik termasuk pelupusan segmen pembuatan bagi memberi tumpuan kepada perniagaan pembinaan dan EPCC.

 

Sektor pembinaan negara kekal disokong oleh perbelanjaan infrastruktur awam yang berterusan, dengan pembangunan kemudahan pendidikan terus menjadi antara keutamaan dalam agenda pembangunan negara. - DagangNews.com

Terkini standard