Sarawak Ingin Bangunkan DeepSAR, Model AI Sendiri Untuk Negeri

8 Feb 2025 • 5:38 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

DeepSAR dijangka jadi realiti menjelang 2030-2040

Sarawak Ingin Bangunkan DeepSAR, Model AI Sendiri Untuk Negeri. Dilaporkan, Sarawak kini dalam misi besar untuk bangunkan kecerdasan buatan (AI) sendiri yang digelar DeepSAR (DeepSarawak)! AI ini akan direka khas untuk memahami dan memproses data unik negeri Sarawak, sekaligus membuka lebih banyak peluang dalam inovasi dan transformasi digital.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkongsi aspirasi ini semasa Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) 2025, malam tadi.

“Saya mahu DeepSAR dibangunkan oleh anak Sarawak sendiri, dengan kandungan yang mencerminkan negeri kita. Ia boleh menjadi jambatan digital antara rakyat Sarawak dan dunia,” katanya.

image is not available
Sarawak Ingin Bangunkan DeepSAR, Model AI Sendiri Untuk Negeri. Sumber gambar: Berita Harian

Bakal direalisasikan menjelang 2030

Walaupun masih dalam peringkat idea, Abang Johari yakin bahawa dengan kepakaran dan pendidikan yang betul, DeepSAR boleh direalisasikan seawal 2030 hingga 2040. AI ini bakal menjadi pemacu utama ekonomi digital Sarawak, seiring dengan usaha kerajaan negeri memperluaskan ketersambungan internet di seluruh negeri.

Beliau juga memuji usaha Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di bawah kepimpinan Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng dalam menaik taraf infrastruktur telekomunikasi.

Abang Johari turut menyentuh kepentingan teknologi cip dan penghantaran data dalam ekonomi digital. Beliau memberi contoh bagaimana China kini bersaing dengan Nvidia dan OpenAI melalui DeepSeek, menunjukkan betapa pentingnya teknologi ini untuk masa depan.

image is not available
Sumber gambar: ITChronicles

Kenapa AI & reka bentuk cip penting untuk masa depan Sarawak?

“Data bergerak melalui cip. Kalau tiada cip, tiada AI. Sebab itu kita beri fokus kepada pembangunan reka bentuk cip untuk menyokong ekonomi digital Sarawak,” tegasnya.

Abang Johari turut berkongsi bagaimana AI boleh membantu dalam bidang kesihatan, khususnya di hospital pengajaran Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Dengan teknologi AI, peranti perubatan boleh mendiagnosis penyakit dan mencadangkan rawatan dengan lebih cekap.

Bukan itu sahaja, Sarawak juga sedang mengumpulkan data biodiversiti untuk menjana pendapatan melalui sumber ekologi di peringkat global. “AI bakal mengubah pelbagai industri, dari perubatan hingga pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Lagi berita terkini untuk anda di sini: