liza14/10/2026 - 15:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt – Sarawak memberi jaminan bahawa tapak penyimpanan karbon di bawah teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) adalah selamat dengan kebarangkalian kebocoran karbon dioksida dianggarkan antara 0.001% hingga 0.01% setahun.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, karbon dioksida yang disimpan melalui teknologi itu berada dalam bentuk cecair dan ditempatkan dalam formasi geologi bawah tanah.
Menurut beliau, keadaan itu menjadikan kemungkinan kebocoran karbon dioksida sangat rendah manakala kira-kira 99% karbon dioksida yang disimpan dijangka kekal terkandung dengan selamat dalam formasi geologi bawah tanah selepas tempoh 1,000 tahun.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Fazzrudin Abdul Rahman (GPS-Tupong) di Dewan Undangan Negeri Sarawak yang meminta penjelasan mengenai mekanisme kawal selia, pemantauan dan perlindungan alam sekitar bagi memastikan pembangunan CCUS tidak memindahkan risiko alam sekitar jangka panjang kepada generasi akan datang.
Peraturan meliputi keseluruhan kitaran projek
Dr Hazland berkata, aktiviti penyimpanan karbon di Sarawak dikawal terutamanya menerusi Kaedah-Kaedah Penyimpanan Karbon di Bawah Tanah 2022 dan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023.
Kerangka peraturan itu merangkumi pemantauan sepanjang kitaran projek, bermula daripada penilaian tapak dan penentuan ciri geologinya, pembangunan projek serta suntikan karbon dioksida, hingga penutupan tapak dan pemantauan selepas penutupan.
Beliau berkata, pemaju projek perlu membuktikan bahawa tapak penyimpanan yang dicadangkan sesuai dari sudut geologi, selain memastikan langkah pengurusan risiko, pemantauan dan tindakan pembetulan yang bersesuaian dilaksanakan.
Pemantauan berterusan juga penting bagi mengesahkan bahawa karbon dioksida yang disuntik kekal di dalam formasi geologi yang ditetapkan, di samping membolehkan keadaan luar biasa atau kemungkinan kebocoran dikesan lebih awal.
Petros sediakan garis panduan CCUS
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat minyak dan gas milik Sarawak, Petroleum Sarawak Berhad (Petros), turut membangunkan Garis Panduan Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon Petros (PC+G) untuk dijadikan panduan kepada pemaju projek dan pengendali tapak penyimpanan karbon di negeri itu.
Menurut Dr Hazland, garis panduan berkenaan menyokong pendekatan yang seragam bagi memastikan pembangunan, operasi dan pemantauan projek penyimpanan karbon dilaksanakan secara selamat dan bertanggungjawab.
Tanggungjawab pemantauan diteruskan selepas penutupan
Mengenai tanggungjawab dan liabiliti terhadap keselamatan tapak selepas projek ditutup, Dr Hazland berkata, pengguna tapak penyimpanan kekal bertanggungjawab terhadap pemantauan selepas penutupan serta pelaksanaan langkah yang diperlukan sehingga permit penyimpanan ditamatkan.
Beliau berkata, secara umumnya, penamatan permit itu tertakluk kepada tempoh minimum 20 tahun selepas tapak ditutup.
Selepas permit berkenaan ditamatkan, tanggungjawab terhadap pemantauan berterusan dan pelaksanaan tindakan pembetulan beralih kepada pemegang lesen.
Bagaimanapun, pengguna tapak penyimpanan masih menanggung liabiliti terhadap sebarang kebocoran terdahulu, kerosakan atau ketidakpatuhan yang berpunca daripada pihak mereka, selaras dengan peruntukan peraturan berkenaan.
Dr Hazland berkata, ketetapan itu memastikan tanggungjawab terhadap integriti dan keselamatan tapak penyimpanan karbon dalam jangka panjang terus dilaksanakan. - DagangNews.com
