Sarawak Kekal Fleksibel, Kod Pakaian Konsert Tidak Terlalu Ketat

21 Feb 2025 • 11:46 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Tiada masalah pun untuk berpakaian seksi, asalkan tidak berlebihan

Sarawak Kekal Fleksibel, Kod Pakaian Konsert Tidak Terlalu Ketat. Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan bahawa garis panduan konsert di negeri itu, termasuk peraturan berpakaian, tetap seimbang dan tidak terlalu ketat. Menurutnya, “tidak salah jika mahu tampil seksi, asalkan tidak berlebihan.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai kod pakaian di konsert semasa sidang media untuk konsert “Nidji: Pelangi di Kuching 2025” yang akan diadakan di Plaza Merdeka. Abdul Karim menjelaskan bahawa walaupun Sarawak mempunyai garis panduan sendiri, ia tidaklah seketat di Semenanjung Malaysia.

image is not available
Gambar sekadar hiasan

Di Sarawak, kita juga ada peraturan tersendiri. Asalkan tidak keterlaluan.

“Di mana-mana pun ada garis panduan. Saya percaya bahkan di Amerika, jika seseorang artis naik ke pentas tanpa seurat benang sekalipun, ia tetap tidak dibenarkan. Garis panduan di Semenanjung mungkin lebih ketat, tapi di Sarawak, kita juga ada peraturan tersendiri. Asalkan tidak keterlaluan.

“Kalau kita lihat Borneo Sonic tahun lepas, ramai juga yang berpakaian agak seksi. Tiada masalah pun untuk berpakaian seksi. Saya rasa garis panduan di Sarawak mungkin berbeza sedikit dengan Semenanjung. Bagi saya, selagi tidak terlalu keterlaluan sampai menimbulkan kecaman dan sebagainya, ia sepatutnya tidak menjadi isu. Kita di sini lebih rasional,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan media mengenai sama ada Sarawak mempunyai peraturan khusus berkaitan pakaian untuk konsert.

Isu ini timbul susulan kontroversi baru-baru ini melibatkan sekumpulan influencer lelaki yang mengundang perdebatan selepas hadir ke acara karpet merah sebuah anugerah muzik terkenal di Semenanjung dengan pakaian yang unik dan flamboyan, sering dikaitkan dengan fesyen wanita, sehingga menjadi tular di media sosial.

Dalam sidang media itu, Abdul Karim turut menekankan komitmen Sarawak dalam menganjurkan acara hiburan berskala besar seperti Rainforest World Music Festival, Borneo Jazz, dan Kuching Jazz Festival, selain konsert Nidji yang dijadualkan berlangsung pada 26 April di Stadium Perpaduan Petra Jaya.

Beliau yakin konsert tersebut bakal mendapat sambutan hangat, dengan hampir separuh daripada 5,000 tiket yang ditawarkan sudah pun terjual.

Katanya, kementeriannya menyokong penganjuran konsert ini melalui penyediaan lokasi dan bantuan kewangan, namun urusan penjualan tiket tetap dikendalikan oleh pihak penganjur swasta.

Abdul Karim turut memberi jaminan bahawa langkah pencegahan terhadap aktiviti penjualan tiket oleh pihak tidak bertanggungjawab telah diambil, dengan penggunaan teknologi bagi memastikan keselamatan transaksi tiket.

Mengenai Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa Asean (AIFFA), beliau mengesahkan bahawa perbincangan masih berlangsung dengan penganjur bagi menentukan sama ada acara itu akan diteruskan tahun ini atau ditangguhkan ke 2026.

Dengan perkembangan pesat industri hiburan di Sarawak, Abdul Karim menggesa rakyat negeri itu untuk menyokong penganjur tempatan dengan menghadiri konsert dan membeli tiket.

“Dengan sokongan kita dan pembelian tiket, ia akan membantu mereka berkembang. Insya-Allah, pada masa akan datang mereka akan kembali dan membawa lebih banyak kumpulan muzik yang lebih besar dan terkenal ke Sarawak,” katanya.

Baca juga cerita semasa di bawah: