Sarawak Metro, DOM-EEB JV bekerjasama dalam Program SEED perkasa tenaga tempatan dalam projek KUTS

LocalBusiness & Finance
25 Apr 2025 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak Metro, DOM-EEB JV bekerjasama dalam Program SEED perkasa tenaga tempatan dalam projek KUTS

image is not available

25/04/2025 - 11:30

Mazli dan Ng (keempat dari kiri) bertukar dokumen yang telah ditandatangani, disaksikan oleh Abdul Aziz (tengah), dan yang lain. Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 25 April – Sarawak Metro Sdn Bhd memeterai perjanjian kerjasama dengan DOM EEB Joint Venture International Sdn Bhd (DOM-EEB JV) bagi pelaksanaan Program Pembangunan Peningkatan Sosio-Ekonomi (SEED) yang menyasarkan pemerkasaan bakat tempatan dan pemindahan teknologi dalam Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Sarawak Metro berkata, perjanjian Program SEED Peringkat Pertama itu merupakan inisiatif untuk meningkatkan nilai perolehan kontrak Pakej Sistem 2 bagi projek KUTS, yang telah dianugerahkan kepada DOM-EEB JV.

"Melalui perjanjian itu, DOM-EEB JV akan melaksanakan pelbagai inisiatif pemerkasaan tempatan termasuk pemindahan teknologi dan pengetahuan, terutamanya bagi tenaga kerja dalam kategori pekerja mahir, serta program pembangunan kompetensi industri," katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua inisiatif berkenaan akan dilaksanakan melalui kerjasama teknologi melibatkan sistem Transit Rapid Autonomi (ART) dan hidrogen seperti yang terkandung dalam skop kontrak Pakej Sistem 2 yang dipegang oleh DOM-EEB JV.

Pakej Sistem 2 merangkumi reka bentuk, penyediaan, pemasangan, dan pentauliahan sistem-sistem utama seperti telekomunikasi, sistem kawalan, dan pemerolehan data (SCADA), kutipan tambang automatik (AFC), sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer (CMMS), pusat kawalan operasi (OCC), dan sistem teknologi maklumat (ITS) untuk operasi kenderaan ART.

Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa, dan Pengarah DOM-EEB JV, Vincent Ng, disaksikan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) merangkap Pengerusi Sarawak Metro, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Hussain.

Mazli dalam ucapannya berkata, program tersebut selari dengan misi Sarawak Metro untuk bukan sahaja membangunkan sistem pengangkutan awam yang moden dan mampan, malah membina kapasiti tenaga kerja tempatan secara menyeluruh.

"Melalui Program SEED, kami mahu menjadikan projek KUTS sebagai platform pembangunan sumber manusia dan rantaian bekalan tempatan yang mampu berdikari, sekaligus menjana limpahan ekonomi kepada rakyat Sarawak," katanya.

Sementara itu, Pengarah DOM Industries Sdn Bhd, Noorfazliyani Mustafa Kamal berkata, penyertaan dalam Program SEED bukan sekadar tanggungjawab korporat, tetapi satu penghormatan.

"Kejayaan sebenar bukan hanya diukur dari apa yang dibina, tetapi bagaimana ia dibina dan siapa yang dapat manfaatnya. Kami komited untuk memastikan sumbangan kami kepada Sarawak bukan hanya dari sudut kejuruteraan, tetapi dari aspek pembangunan komuniti," katanya.

Program SEED merupakan antara inisiatif berimpak tinggi yang diperkenalkan Sarawak Metro bagi memperkukuh pembangunan tempatan berasaskan model serupa dengan Program Kerjasama Industri (ICP) yang telah lama dilaksanakan dalam projek strategik nasional.- DagangNews.com

standard