Sarawak catat 45 kematian akibat rabies
Sarawak Negeri Pertama Anjing Tempatan Dimasukkan Cip Untuk Kawal Rabies. Wabak rabies adalah satu penyakit yang tidak segempar dan tidak mendadak penularannya seperti wabak Covid-19, namun wabak ini juga mampu meragut nyawa sesiapa sahaja yang telah dijangkitinya.
Terkini, Sarawak sahaja telah mencatatkan angka kematian akibat rabies sebanyak 45 kes. Walaupun kedengaran seperti angka yang masih terkawal, tapi untuk kita mengambil langkah lebih berjaga-jaga itu adalah hal yang mustahak.

Sarawak negeri pertama ada IBET
Untuk mengawal dengan lebih proaktif penularan wabak rabies ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah melancarkan penubuhan Immune Belt Enforcement Team (IBET) di Dataran Perayaan, Jalan Stadium.

Sarawak merupakan negeri pertama yang mempunyai pasukan khas ini dimana selain tugas utama mengawal penularan rabies terutamanya di kawasan pedalaman dan sempadan, IBET juga melaksanakan tugas untuk memastikan persekitaran di Sarawak ini terjaga dan terpelihara. Bahkan, IBET juga sentiasa bersedia untuk beroperasi mengawal penularan penyakit kuku dan mulut, demam babi Afrika dan apa-apa penyakit bawaan daripada haiwan.
Anggota IBET ini pula terdiri daripada rakyat tempatan Sarawak sendiri kerana ini membantu memudahkan tugasan mereka. Mereka yang dilantik ini haruslah fasih dengan dialek tempatan, budaya dan kedudukan geografi tempat IBET beroperasi kerana salah satu tugas mereka adalah mengawasi pergerakan anjing.
Bahkan, pasukan IBET juga dibekalkan dengan kelengkapan yang canggih dan kenderaan yang mencukupi untuk memudahkan pergerakan anggota mereka ke kawasan pedalaman.
Sarawak juga negeri pertama anjing tempatan dimasukkan cip untuk awasi pergerakan
Memandangkan Sarawak telah memiliki pasukan khas ini, Abang Johari dalam ucapan beliau juga ada mengatakan tentang anjing tempatan yang akan dikenal pasti dengan bantuan serta bekerjasama dengan masyarakat setempat dan ketua masyarakat dimana anjing-anjing ini dapat dimasukkan cip ke dalam badan mereka.

Hal ini ada upaya untuk mengesan anjing tempatan dan anjing liar sekaligus memantau pergerakan mereka supaya memudahkan pihak kerajaan mendapatkan data yang diperlukan dalam usaha mengawal penularan wabak rabies ini.
Bahkan, dengan ada IBET dan dengan memasukkan cip ke dalam badan anjing tempatan ini juga dapat mengawal penularan wabak rabies akibat daripada anjing liar dari negara jiran melalui sempadan.
Diharapkan rakyat Sarawak bersama-sama dengan pihak kerajaan menjayakan usaha ini untuk mengawal penularan rabies ini.
