Sarawak Pass Diumumkan – Aplikasi Sehenti Untuk Identiti, Perkhidmatan Dan Dompet Digital Sarawak

Digital
22 Oct 2025 • 11:23 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kerajaan pusat kini dilihat sedang membangunkan aplikasi perkhidmatan kerajaan digital sehenti MyGov untuk memudahkan rakyat Malaysia mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan tanpa perlu ke kaunter-kaunter fizikal, kini kerajaan Sarawak juga dilihat telah mengumumkan bahawa mereka akan membangunkan aplikasi yang sama untuk rakyat negeri itu.

image is not available

Dinamakan Sarawak Pass, aplikasi ini diumumkan sewaktu acara International Digital Economy Sarawak 2025 (IDECS 2025) yang sedang berlangsung di Kuching, Sarawak. Ia merupakan penjenamaan semula aplikasi Sarawak ID sebelum ini yang merumahkan identiti digital rakyat Sarawak.

image is not available

Perkara ini diumumkan oleh Premier Sarawak, Yang Amat Bahagia Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari sewaktu acara pelancaran acara IDECS 2025. Aplikasi ini juga akan dibangunkan oleh Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS).

image is not available

Melihat kepada aplikasi-aplikasi berasaskan Sarawak yang kini boleh dimuat-turun, Sarawak Pass dijangka akan menggabungkan fungsi-fungsi aplikasi kerajaan dan dompet digital tempatan seperti SarawakID, SPay Global (Sarawak Pay), Service Sarawak dan Sarawak Gov dalam satu aplikasi untuk mengurangkan keperluan memuat-turun begitu banyak aplikasi pada peranti pintar pengguna.

Fungsi-fungsi tambahan ini dikatakan akan diperkenalkan kelak di masa hadapan.

image is not available

Pihak SAINS telah memberitahu kami bahawa rakyat Sarawak boleh memuat-turun aplikasi Sarawak Pass ini melalui gedung muat-turun aplikasi Google Play Store dan Apple App Store bermula petang ataupun malam ini.