Sarawak Sasar Hantar 10 Pelajar Terbaik ke Universiti Cambridge Setiap Tahun

1 May 2025 • 3:37 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Pelajar Cemerlang Sarawak Bakal Melanjutkan Pelajaran ke Universiti Cambridge, Oxford dan Harvard

Sarawak Sasar Hantar 10 Pelajar Terbaik ke Universiti Cambridge Setiap Tahun. Dalam usaha melonjakkan pencapaian pendidikan anak-anak Sarawak, kerajaan negeri kini sedang berbincang secara aktif dengan Universiti Cambridge untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 tempat setiap tahun khas untuk pelajar cemerlang dari sekolah antarabangsa milik negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar Sarawak yang berprestasi tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan terkemuka dunia.

image is not available

“Kita menghantar pelajar ke sekolah antarabangsa, jadi mereka yang cemerlang dalam peperiksaan seharusnya berpeluang menyambung pelajaran ke institusi ternama,” jelasnya dalam satu laporan oleh media tempatan.

Bukan Cambridge Sahaja, Oxford dan Harvard Juga Dalam Radar

Menurut Abang Johari, selain Cambridge, kerajaan Sarawak turut meneroka peluang ke universiti terkenal lain seperti Oxford, Harvard dan London School of Economics (LSE). Perkara itu diumumkan ketika sidang media selepas menandatangani kontrak strategik antara Swinburne Innovation Malaysia (SWIM) dan Cambridge University Press & Assessment (CUPA) di United Kingdom pada 30 April.

Beliau turut menjelaskan bahawa tumpuan biasiswa akan diberikan kepada bidang strategik dan berimpak tinggi yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD).

Bangunkan Bakat Bertaraf Dunia

“Langkah ini penting untuk membina kumpulan bakat berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat global dan memacu agenda ekonomi baharu Sarawak,” tambahnya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan pemimpin utama Sarawak termasuk Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri MEITD Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, serta beberapa timbalan menteri dan wakil dari Cambridge International Education Group.