
Pengambilan pertama pelajar yang layak bermula awal tahun 2026
Sarawak Umum Senarai Kursus Pendidikan Percuma di IPT Milik Kerajaan Oktober Ini. Pemilihan kursus pengajian bagi inisiatif pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri Sarawak akan diumumkan pada Oktober ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau menyatakan bahawa pengambilan pertama pelajar yang layak di bawah inisiatif ini akan bermula pada awal tahun depan.

“Kita sedang membangunkan Sarawak melalui pendidikan percuma, dan kita telah memilih bidang pengajian yang akan diumumkan pada Oktober ini.
“Jadi, mereka (pelajar) boleh memilih bidang yang selari dengan industri yang sedang kita bangunkan berdasarkan ekonomi baharu kita,” katanya semasa sambutan Hari Integriti dan Iftar 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengumumkan bahawa inisiatif pendidikan percuma ini akan dilaksanakan mulai 2026, menjadikan Sarawak negeri pertama di Malaysia yang menawarkan program sedemikian.
Inisiatif ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada pelajar dari Sarawak yang melanjutkan pengajian di IPT milik kerajaan negeri dalam kursus-kursus terpilih, yang akan diumumkan kemudian.
Pada pendapat anda, apakah jurusan yang akan ditawarkan secara percuma kelak? Kongsikan di ruangan komen.
Pendidikan percuma di Sarawak kelak juga akan diperluas kepada pelajar di UiTM

