Sasaran pertumbuhan 7% SG4 tak boleh sekadar atas kertas

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 4:51 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sasaran pertumbuhan 7% SG4 tak boleh sekadar atas kertas

PETALING JAYA: Sasaran pertumbuhan ekonomi tujuh peratus setahun bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4) tidak akan membawa makna sekiranya masalah infrastruktur asas, khususnya bekalan air bersih, terus membelenggu negeri-negeri berkenaan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan RM723.75 bilion menjelang 2050 yang diketengahkan pada SG4 Business & Economic Forum 2026 perlu disusuli perancangan berdaya maju, peningkatan produktiviti serta pelaksanaan projek dan pelaburan secara berkesan.

Beliau berkata, semua pihak tidak boleh lagi beroperasi seperti biasa sekiranya mahu merealisasikan sasaran pertumbuhan itu, sebaliknya perlu menilai keupayaan sebenar pelaksanaan pembangunan di wilayah berkenaan.

“Saya tidak mahu memberikan komen terhadap sasaran pertumbuhan yang diletakkan, tetapi kita perlu semak usaha Kerajaan Persekutuan yang sewajarnya diketengahkan dalam perbincangan untuk membangunkan wilayah-wilayah ini.

“Tanpa mengetengahkan usaha-usaha ini, saya yakin sukar untuk kita menyemak keupayaan pelaksanaan dalam membangunkan negeri-negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, pada 2025, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembangunan (DE) berjumlah RM7.70 bilion bagi empat negeri itu, berbanding gabungan anggaran belanjawan pembangunan kerajaan negeri sekitar RM1.13 bilion.

Katanya, komitmen berkenaan diteruskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 apabila sebanyak 1,487 projek pembangunan diluluskan bagi SG4 dengan kos keseluruhan RM71.52 bilion.

Malah, peruntukan siling pembangunan bagi empat negeri itu di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) 2027 meningkat kepada RM8.11 bilion daripada RM7.98 bilion di bawah RP1 2026, iaitu pertambahan RM130 juta atau 1.6 peratus.

Tambahnya, antara projek strategik yang menyokong pertumbuhan ekonomi wilayah itu termasuk Kedah Rubber City, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tok Bali Industrial Park, Kertih Biopolymer Park, Perlis Inland Port dan Chuping Valley Industrial Area.

“Dari sudut pelaburan, data MIDA bagi 2025 menunjukkan empat negeri merekodkan RM37.23 bilion pelaburan diluluskan dengan potensi 18,319 peluang pekerjaan diwujudkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa angka pelaburan diluluskan dan unjuran peluang pekerjaan tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa manfaat ekonomi sudah dinikmati rakyat, selagi projek belum dilaksanakan dan pekerjaan belum benar-benar diwujudkan.

“Kita perlu memastikan projek benar-benar dilaksanakan, usahawan tempatan menyertai rantaian bekalan, dan rakyat mendapat pekerjaan berkualiti serta pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata, cabaran infrastruktur asas sedia ada, terutama bekalan air bersih, menjadi antara perkara yang membimbangkan dalam perancangan pembangunan ekonomi sehingga 2050.

Beliau secara khusus membangkitkan isu bekalan air di Kedah yang mencatatkan rizab margin sifar peratus, selain masalah bekalan air yang turut dihadapi Kelantan.

“Bagaimana untuk membangunkan ekonomi tempatan dan menarik pelaburan dengan lebih rancak tanpa kemudahan infrastruktur asas seperti ini?” soalnya.

Justeru, beliau berkata, meskipun Kerajaan Persekutuan meneruskan peruntukan pembangunan dan pelaksanaan projek bagi menyokong pertumbuhan ekonomi keempat-empat negeri tersebut, masalah infrastruktur asas seperti bekalan air perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh semua pihak berkaitan.

Beliau berkata, sasaran pertumbuhan ekonomi yang besar perlu disertai keupayaan menyediakan kemudahan asas, memastikan projek siap dan menterjemahkan pelaburan kepada pekerjaan serta pendapatan lebih baik, bukannya sekadar bergantung pada angka sasaran dan kelulusan projek. – UTUSAN

The post Sasaran pertumbuhan 7% SG4 tak boleh sekadar atas kertas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved