liza13/03/2026 - 11:27 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Mac – ICT Zone Asia Berhad dijangka mencatatkan pertumbuhan keuntungan yang kukuh pada beberapa suku akan datang selepas mencatatkan prestasi FY26 yang melebihi jangkaan, kata TA Securities.
Keuntungan bersih teras syarikat bagi FY26 berjumlah RM15.2 juta, melebihi 114.6% daripada unjuran tahunan firma penyelidikan tersebut.
TA Securities berkata prestasi ini didorong terutamanya oleh peningkatan pendapatan daripada segmen perdagangan perkakasan dan perisian ICT.
Sehubungan itu, firma tersebut mengekalkan saranan Beli untuk ICT Zone dengan harga sasaran RM0.31 sesaham, menawarkan potensi kenaikan 82.4% daripada harga semasa RM0.17.
“Kenaikan harga sasaran ini disokong oleh unjuran keuntungan FY27 dan FY28 yang dinaikkan masing-masing sebanyak 14.6% dan 13.6%, selaras dengan prestasi FY26 yang melebihi jangkaan.
“Model perniagaan berulang ICT Zone yang berasaskan kontrak, serta strategi multi-kitaran hayat, menyumbang kepada margin yang lebih baik dan kecekapan modal yang tinggi,” kata TA Securites dalam nota kajiannya.
ICT Zone mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 0.2 sen sesaham, mengekalkan kadar sama seperti tahun sebelumnya.
Segmen perdagangan perkakasan dan perisian ICT mencatatkan peningkatan lebih dua kali ganda kepada RM85.3 juta, manakala segmen pembiayaan teknologi meningkat 24.3% kepada RM94.8 juta, menandakan daya tahan model TechFin syarikat.
Secara suku ke suku, pendapatan 4QFY26 meningkat 28.2% berbanding suku sebelumnya, dipacu oleh prestasi lebih baik semua segmen. Segmen perdagangan meningkat 54.9% QoQ manakala pembiayaan teknologi meningkat 10.2% QoQ.
Keuntungan bersih teras meningkat daripada RM3.7 juta kepada RM3.8 juta bagi suku terakhir.
Menurut firma penyelidikan dan perundingan teknologi global Gartner, permintaan komputer peribadi (PC) global dijangka meningkat, dengan penghantaran melebihi 270 juta unit pada 2025, peningkatan 9.1% berbanding tahun sebelumnya.
Faktor pendorong termasuk keperluan syarikat menggantikan komputer lama dan tarikh tamat sokongan Windows 10 pada Oktober 2025, yang mendorong organisasi untuk menaik taraf perkakasan mereka.
Kos perkakasan pula dijangka meningkat dengan ketara dengan harga cip memori melonjak, dan Samsung menaikkan harga Dynamic Random Access Memory (DRAM) sehingga 60% pada akhir 2025.
Gartner meramalkan gabungan kos DRAM dan peranti storan computer (Solid State Drive-SSD) boleh meningkat 130% menjelang akhir 2026, yang dijangka mendorong harga PC naik 17% pada tahun 2026.
Seiring dengan kenaikan kos perkakasan, model Device-as-a-Service (DaaS) semakin popular dan kebanyakan organisasi kini beralih kepada langganan perkakasan, yang membolehkan kos diagihkan dari semasa ke semasa serta mendapat sokongan pengurusan kitaran hayat, tanpa terdedah kepada turun naik harga komponen.
ICT Zone menyasarkan RM250 juta dalam pesanan baharu untuk FY27 bagi mengekalkan momentum pertumbuhan keuntungan. Syarikat juga terus mengekalkan kelebihan daya saing melalui kontrak berulang, margin tinggi, dan strategi multi-kitaran hayat yang unik. - DagangNews.com


