Sasterawan Negara A Samad Said meninggal dunia usia 91 tahun

24 Nov 2026 • 7:12 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sasterawan Negara A Samad Said meninggal dunia usia 91 tahun

SHAH ALAM, 24 NOV: Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun, petang tadi.

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan anak sulungnya, Helmy Samad menerusi hantaran media sosial, lapor MalaysiaKini.

“6.10 (petang). “Innalillahi wainnailaihi rojiun. Bapa baru meninggal,” katanya ringkas.

Menurut maklumat yang dikongsikan keluarga, solat jenazah Allahyarham akan diadakan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar pada jam 10 pagi esok.

Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Pihak keluarga turut memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.

Allahyarham atau nama sebenarnya Abdul Samad Mohamed Said merupakan Sasterawan Negara keempat yang menerima pengiktirafan itu pada 1985.

Sepanjang penglibatan dalam dunia kesusasteraan, beliau menghasilkan pelbagai karya terkenal termasuk novel Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985) dan Hujan Pagi (1987).

Allahyarham turut menghasilkan puisi, drama dan esei yang memberi sumbangan besar kepada perkembangan kesusasteraan Melayu moden.

Sebelum menumpukan sepenuh masa dalam bidang penulisan kreatif, beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan dan pengarang di Utusan Melayu, Berita Harian serta New Straits Times.

Allahyarham yang mesra dikenali sebagai Pak Samad turut aktif dalam gerakan masyarakat sivil dan pernah menjadi pengerusi bersama gabungan Bersih 2.0.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved