Sathiya reda jalani pembedahan kali kedua, anak dedah sikap tenang ayah – ‘Dia tak nak kami risau atau bersedih’

LocalEntertainment
11 Mar 2026 • 9:21 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

PELAKON dan pelawak veteran Sathiya, yang dilaporkan menjalani pembedahan memotong kaki kirinya kini berada dalam keadaan stabil.

Anak perempuannya, Amani Nair Satya, 37, berkata bapanya dimasukkan ke dewan pembedahan sekitar jam 10.10 pagi Selasa.

Amani dalam perkongsiannya bersama mStar memberitahu kaki kanan bapanya juga sudah tidak lagi bengkak selepas menerima suntikan antibiotik daripada doktor.

Ayahnya kini, perlu berpantang makanan buat sementara waktu bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.

"Semalam doktor masukkan antibiotik dan bengkak sudah semakin kurang.

"Namun kami masih perlu tunggu dan lihat

keadaannya selepas seminggu,” katanya lagi.

Walaupun berdepan situasi sukar, Sathia dikatakan tetap sedar sepenuhnya dan memahami keputusan yang perlu dibuat terhadap kesihatannya.

“Ayah sedar ketika mendapatkan rawatan di zon kuning hospital semalam dan dia tahu kaki kirinya perlu dipotong sekali lagi.

"Malah borang pembedahan itu pun ayah sendiri yang tandatangan.

“Kata ayah, apa yang berlaku pada kakinya adalah ketentuan Tuhan.

"Jadi, dia juga mahu kami sekeluarga menerima keadaan itu dengan baik,” katanya.

Bagi Amani, sikap positif yang ditunjukkan bapanya menjadi kekuatan buat seluruh keluarga. Walaupun berdepan pembedahan besar, aktor berusia 62 tahun itu tetap kelihatan ceria dan cuba menenangkan anak-anaknya.

“Macam mana pun ayah selalu nampak gembira. Wajah dia tak tunjuk kesedihan di depan kami.

"Mungkin sebab ayah tak mahu kami risau atau bersedih,” katanya lagi seperti yang dilaporkan Harian Metro

Pelakon sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu juga dilihat tenang ketika dibawa ke dewan bedah oleh doktor pada pagi Selasa.

“Masa menuju ke dewan bedah, ayah sempat beritahu saya dan adik bahawa dia okay sahaja.

"Doktor pun memaklumkan keadaan kesihatannya stabil dan tiada masalah besar sebelum pembedahan dijalankan,” jelasnya.

Tambah Amani, pengalaman pembedahan sebelum ini membuatkan keluarga lebih yakin dengan semangat bapanya yang kuat menghadapi ujian kesihatan.

“Sebelum ini pun sama. Lepas selesai pembedahan, malam itu juga ayah sudah boleh ketawa bila kami berkumpul di katilnya,” katanya.

image is not available

Komplikasi penyakit diabetes

Terdahulu, media melaporkan keadaan kesihatan Sathiya dikatakan merosot selepas dirinya mengadu pening kepala selain mengalami simptom mata menjadi kuning serta muntah-muntah sejak malam Ahad lalu.

Anak-anaknya membawa pelawak berkenaan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketika itu, dia dilaporkan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di zon kuning hospital bagi pemantauan doktor.

Difahamkan insiden kesihatannya bermula selepas Sathiya terjatuh di rumah pada Jumaat lalu.

Kejadian itu menyebabkan bahagian kaki kirinya yang pernah dipotong sebelum ini mengalami luka dan pendarahan.

Untuk rekod, kaki kiri Sathiya pernah dipotong akibat komplikasi penyakit Diabetes pada September tahun lalu.

Selepas kejadian terjatuh, lelaki itu mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta. Namun keadaan kesihatannya tidak menunjukkan perubahan positif kerana bahagian kaki tersebut dijangkiti kuman.

Difahamkan luka lama pada kaki kirinya kembali bernanah, sekali gus menyebabkan jangkitan semakin serius.

Hasil pemeriksaan lanjut oleh doktor, Sathiya disarankan menjalani pembedahan bagi memotong bahagian kaki yang dijangkiti.

Langkah itu perlu diambil bagi mengelakkan jangkitan merebak ke bahagian anggota badan yang lain.

Dalam situasi ini, semangat yang ditunjukkan Sathiya nyata memberi inspirasi kepada keluarga serta peminat yang mengikuti perjalanan kerjayanya sejak sekian lama.

Walaupun berdepan ujian kesihatan yang berat, dia tetap memilih untuk tenang dan menerima ketentuan dengan hati terbuka.

Bagi peminat setia pelawak yang terkenal dengan watak bersahaja itu, doa agar Sathiya kembali pulih dan menjalani kehidupan dengan lebih sihat pastinya tidak putus-putus mengiringi perjalanan pemulihannya selepas pembedahan nanti.