
Imej kecerdasan buatan (AI) pada waktu ini adalah majoritinya negatif. Ia menyebabkan harga memori dan storan meningkat, peningkatan penggunaan air, dimasukkan dalam aplikasi tanpa sebab serta menghasilkan kandungan sampah AI (AI slop) dalam jumlah banyak di media sosial sehingga menghasilkan naratif palsu. CEO Microsoft Satya Nadella kini mempunyai blog peribadi SN Scratchpad dan dalam nukilan pertama beliau, Nadella berkata sudah tiba masa untuk berhenti mengatakan AI adalah sampah.

Sebaliknya beliau ingin masyarakat melihat AI sebagai “basikal untuk minda” kerana ia meningkatkan potensi manusia yang menggunakannya dan bukan sebagai pengganti manusia berfikir. Beliau menambah AI ialah alat yang menggandakan kognitif supaya manusia boleh mencapai hasrat mereka.
Selain itu beliau meramalkan penggunaan AI akan berubah daripada model kepada sistem untuk menghasilkan impak dunia sebenar. Tambah beliau lagi manusia kini tiba di fasa membina kerangka yang terdiri daripada pelbagai model serta ejen. Akhir sekali pembangunan AI mesti diteruskan untuk mendapatkan nilainya di dunia nyata.


