“Saudara Naga” Dipuji Netizen, Sanggup Hantar Semula Dompet Yang Tertinggal Tanpa Ambil Sesen Pun

LocalLifestyle
24 May 2026 • 9:22 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: “Saudara Naga” Dipuji Netizen, Sanggup Hantar Semula Dompet Yang Tertinggal Tanpa Ambil Sesen Pun

KUALA LUMPUR – Satu perkongsian tular di Threads menyentuh hati ramai apabila seorang lelaki dikenali sebagai “Saudara Naga” dipuji atas sikap jujur dan keprihatinannya selepas memulangkan sebuah dompet yang tercicir kepada pemiliknya.

Menerusi perkongsian oleh pengguna Threads, @aidasarisa, dia berkongsi kisah bapa dan ibu mentuanya yang dalam perjalanan pulang ke Terengganu dari Puncak Jalil sekitar jam 10.30 pagi sebelum singgah mengisi minyak di sebuah stesen Petronas.

Namun tanpa disedari, bapa mentuanya dipercayai tertinggal dompet di atas bumbung kereta sebelum meneruskan perjalanan sehingga ke Keramat. Selepas menyedari kehilangan tersebut, mereka berpatah balik mencari di sekitar lokasi namun gagal menemukannya.

Disebabkan mempunyai urusan yang perlu diselesaikan di kampung, mereka meneruskan perjalanan sambil mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghubungi pihak bank untuk menyekat kad yang ada.

Patah Balik Dari Kajang Demi Pulangkan Dompet

Bagaimanapun, sesuatu yang tidak disangka berlaku apabila keluarga mereka menerima khabar bahawa dompet tersebut telah ditemui dan dipulangkan.

Menurut perkongsian itu, seorang lelaki dikenali sebagai “Saudara Naga” yang memandu lori dikatakan menemui dompet tersebut ketika berada di lokasi sama. Selepas selesai urusannya di Klang, dia pulang ke Kajang untuk mengambil motosikal sebelum datang sendiri ke Puncak Jalil bagi menyerahkan dompet itu kepada pemilik.

Lebih mengharukan, semua wang tunai serta kad bank di dalam dompet dilaporkan masih berada dalam keadaan lengkap dan tidak terusik. Keluarga berkenaan turut berharap dapat menjejaki individu terbabit bagi menyampaikan penghargaan secara peribadi atas keikhlasan dan usaha yang dilakukan.

Netizen Puji Sikap Jujur, Anggap Cerminan Rakyat Malaysia

Perkongsian tersebut turut mengundang perhatian ramai netizen yang tersentuh dengan tindakan lelaki berkenaan.

Rata-rata menyifatkan apa yang dilakukan beliau  sebagai contoh sikap amanah dan nilai kemanusiaan yang masih kuat dalam masyarakat hari ini. Ada yang menyifatkan individu seperti itu sebagai gambaran sebenar rakyat Malaysia yang sanggup membantu tanpa mengharapkan balasan.

Malah, ramai turut mendoakan agar segala urusan lelaki tersebut dipermudahkan serta dikurniakan rezeki yang lebih luas atas kejujuran yang ditunjukkan.

Dalam masa sama, ada juga netizen mencadangkan agar keluarga berkenaan berkongsi kisah itu di komuniti tempatan sekitar Kajang supaya identiti lelaki tersebut dapat dikenal pasti dan penghargaan dapat disampaikan secara terus.

Perkongsian ini sekali lagi menjadi bukti bahawa di sebalik pelbagai kisah negatif yang sering tular, masih ramai individu yang memilih untuk melakukan kebaikan secara senyap dan ikhlas demi membantu orang lain. – The Malaysian Update

The post “Saudara Naga” Dipuji Netizen, Sanggup Hantar Semula Dompet Yang Tertinggal Tanpa Ambil Sesen Pun appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article