“Saya alami tekanan…” – Alya Iman buat laporan polis, nafi ganggu rumah tangga Zizi Kirana

LocalEntertainment
20 Jul 2025 • 3:02 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pelakon, Alya Iman tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dirinya sebagai punca pergolakan rumah tangga pasangan selebriti, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin.

Alya, atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil, 24, berkata, fitnah yang dilemparkan terhadapnya bukan sahaja mencemarkan nama baik dan menjatuhkan reputasi, malah turut memberi kesan kepada kesihatan mental serta perjalanan kerjaya seninya.

“Akibat isu ini, saya menjadi sasaran tohmahan netizen yang menyebarkan pelbagai kenyataan tidak berasas, mencaci serta melabel saya.
“Segala tuduhan terbabit adalah fitnah yang mencemarkan nama saya. Disebabkan penyebaran fitnah ini, saya mengalami tekanan, kehilangan reputasi, dan kerjaya saya turut terjejas akibat kecaman terbuka oleh masyarakat,” katanya dalam kenyataan menerusi InstaStory.

Alya Iman buat laporan polis

image is not available

Menurut Alya, laporan polis yang dibuat adalah langkah mempertahankan diri serta memberi pengajaran kepada pihak yang sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat palsu tanpa bukti.

image is not available

“Saya juga berharap tindakan ini dapat memastikan keadilan ditegakkan melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.
“Saya tidak menafikan saya bukanlah insan sempurna. Namun, apa yang berlaku pada masa silam biarlah menjadi pengajaran.
“Saya memilih untuk tidak mengulanginya dan terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik,” katanya lagi.

image is not available

Alya turut memuat naik gambar dirinya mengenakan busana kebaya berwarna hijau ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan pada jam 3.49 petang semalam.

Katanya, siasatan mendapati kes berkenaan melibatkan beberapa hantaran di media sosial termasuk TikTok, Instagram dan laman berita yang mengaitkan nama pelakon terbabit secara langsung.

“Kes ini telah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut termasuk menurunkan hantaran serta komen yang berunsur fitnah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

image is not available

Setakat ini, pihak berkuasa belum memanggil mana-mana individu untuk dirakam keterangan dan siasatan masih dijalankan.

Sumber: IG Alya Iman, BH Online (Nor Azizah Mokhtar)