KLANG - "Saya yang ajak kakak hisap dadah sekali."
Itu kata seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang juga pesakit strok di bahagian tangan kiri selepas ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor menerusi operasi bersepadu di penempatan bangunan usang di Bandar Armada Putra di sini pada Khamis.
Dia mendakwa telah memperkenalkan dadah jenis syabu kepada kakaknya sejak beberapa tahun lalu.
Menurut anak bongsu daripada 10 beradik itu, dia mengakui sering cuba berhenti daripada penagihan dadah, namun gagal.
"Dadah ini saya ambil sudah lama sejak umur 20-an lagi... kakak pada awalnya cuma makan ubat biasa sahaja kerana mahu kurus, tetapi saya bagi dia cuba benda (dadah) ini.
"Lama-lama kami ketagihan... kadang-kadang saya hisap dadah bersama-sama," katanya ketika ditemui di sini.
Wanita itu ditahan ketika berada dalam bilik bersama teman lelaki, manakala kakaknya juga ditahan dalam unit kediaman sama bersama suami.
Kakak kepada wanita terbabit yang juga berusia lingkungan 40-an mendakwa, dia dan adiknya juga pernah ditahan AADK.
"Kadang-kadang bayar RM20 sahaja. Kadang-kadang percuma apabila hisap dengan kawan, cuma saya tidak ambil setiap hari.
"Pada awalnya memang saya tidak tahu adik ambil (dadah) juga. Saya dahulu gemuk, mahu kurus kononnya, itu yang cuba-cuba," kata wanita yang berasal dari Telok Gong yang sudah mempunyai dua cucu itu.
Serbuan itu turut menyaksikan anak-anak kecil dan masih menyusu terpaksa didukung ibu masing-masing selepas ditahan kerana disyaki terlibat dalam penagihan dadah.
Seorang ibu yang telah diceraikan suami hanya mampu menitiskan air mata selepas ditangkap bersama beberapa penghuni lelaki di rumah terbabit.
"Saya kerja sambilan dengan syarikat penghantaran. Duduk di sini dengan teman lelaki.
"Anak tidak tahu saya hisap dadah, kalau hisap memang sorok-sorok dalam bilik... anak main di luar," katanya sambil memeluk anak perempuan berusia lapan tahun.
Katanya, dadah jenis syabu yang diambilnya biasanya dibawa oleh teman lelakinya dengan harga RM50.
"Saya baru dua tiga bulan hisap dadah. Menyesal sangat-sangat," katanya dalam nada sedih.
Serbuan Op Perdana AADK Selangor bermula jam 4.30 pagi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum mendapati 60 tangkapan disahkan positif dadah.



