Seorang pengawal keselamatan, K Santharan, 68, mencuri perhatian warga maya selepas videonya memimpin tangan seorang murid Tadika di Taman Cuepacs, Cheras, sehingga ke pagar sekolah tular di TikTok.
Santharan, yang sudah lima tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan, berkata dia menganggap semua murid seperti cucunya sendiri tanpa mengira bangsa.
“Saya anggap mereka semua seperti cucu sendiri, tak kisah Melayu, Cina, India atau apa bangsa sekalipun,” katanya memetik laporan Harian Metro, Jumaat, 10 Januari 2025.
Meninjau ruangan komen di TikTok, rata-rata warga maya tersentuh dengan layanan mesra lelaki itu terhadap murid-murid, terutama dalam memastikan keselamatan mereka sewaktu pulang dari sekolah.
Tidak mengharapkan perhatian
Santharan menjelaskan, dia tidak menyangka akan menjadi perhatian ramai kerana baginya, apa yang dilakukan hanyalah sebahagian daripada tugas.
“Saya memang sukakan kerja saya. Semua murid saya bantu jaga, terutama waktu mereka nak pulang kerana ada masanya cikgu tak sempat nak layan semua,” katanya.
Santharan turut berkongsi bahawa dia sentiasa memimpin tangan murid sehingga ke kereta ibu bapa mereka atau membantu melintas jalan.
“Saya layan semua murid sama, bukan pilih kasih. Saya pun ada seorang cucu berumur tujuh tahun, jadi bila tengok murid lain, saya teringat cucu sendiri,” tambahnya.
Menurutnya lagi, ibu bapa serta guru tidak pernah mempunyai masalah dengannya, malah mempercayainya sepenuhnya.
“Saya pernah bekerja 25 tahun di bahagian penyelenggaraan sebuah hospital sebelum ini. Kini, saya seronok dengan tugas ini kerana maklum balas positif daripada guru dan ibu bapa.
“Kadang-kadang ibu bapa beri makanan atau minuman sebagai tanda terima kasih. Saya sangat hargai dan selagi kuat, saya akan terus bekerja di sini,” katanya.
Video tular sebagai kenangan
wish you were here #Atuk thank you uncle
Individu yang memuat naik video tersebut, Nurkasmedah Abdullah, 34, berkata video itu hanya bertujuan untuk kenangan hari pertama anaknya, Eshal Nashwa, 4, bersekolah.
“Saya tak sangka video itu tular. Waktu rakam, saya terharu melihat Uncle (panggilan mesra buat Santharan) memimpin tangan anak saya turun tangga.
“Keesokan harinya, saya lihat Uncle melakukan perkara sama dengan murid lain. Dia seperti seorang datuk yang menjaga cucunya,” katanya.
Sumber: Harian Metro (Redzuan Muharam)
The post ‘Saya anggap mereka semua seperti cucu sendiri’ appeared first on The Reporter.




