'Saya belum tengok surat' - Saifuddin

Politics
6 Mar 2023 • 2:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

image is not available
Saifuddin ketika tiba untuk menghadiri sidang DUN Pulau Pinang pada Isnin.

GEORGETOWN - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan beliau belum melihat surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung kelulusan terhadap usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Sehubungan itu, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan meminta masa untuk 'melihat' surat tersebut dalam masa beberapa hari lagi.

"Apa isu dia? Siapa yang kata (surat dari Kementerian Dalam Negeri)? Saya tidak berkomunikasi dengan sesiapa. Saya 'outstation' dan hari ini baru ada di sini (Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang). Jadi untuk lebih adil, beri masa saya untuk tengok dulu surat yang dimaksudkan itu.

"Bagi peluang kepada saya untuk tengok surat dan sebut sebab selama ini pun, bukan kenyataan daripada saya kan? Tak ada satu pun kenyataan daripada saya. Saya kena balik tengok dulu, panggil KSU (Ketua Setiausaha) dan pegawai saya, baru betul.

"Takkan saya nak buat spekulasi sana sini. Dia ni kata ada surat, dia ni pula kata ada surat. Tak kan saya nak buat kenyataan yang teraba-raba begitu," katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa usul tambahan PAU untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah diterima ROS.

Ahmad Zahid berkata, UMNO telah menerima surat bertarikh 3 Mac 2023 daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan bahawa RoS telah menerima usul yang telah diluluskan oleh PAU.

Katanya lagi, melalui surat tersebut, Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan kepada Seksyen 13(1)(c)(14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

AKAN MENYUSUL