
JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan kerajaan menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki,
Perdana Menteri berkata, biarpun menerima teguran daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang, namun pihaknya melihat SPRM diterajui Azam dikjhat lebih berani bertindak terhadap individu yang mempunyai kekayaan berbilion ringgit, termasuk ‘tauke-tauke besar’.
Beliau berkata, SPRM di bawah kepimpinan Azam telah menunjukkan keberanian luar biasa dalam menangani rasuah berskala besar.
“Ada orang bicara dan suara pembangkang sibuk tentang penyambungan kontrak Tan Sri Azam Baki, saya nak sebut saya tidak nafikan teguran yang dibangkitkan.
“Saya percaya melihat kepada perkembangan SPRM puluhan tahun, inilah kali pertama SPRM berani menggeledah semua tauke besar.
"Ya, ini kenyataan. Saya boleh ganti dan bincang dengan kawan (Kabinet), boleh ganti (Azam) esok, tapi saya tidak yakin yang baharu itu berani menyinggung tauke besar yang punyai bilion ringgit kekayaannya,” katanya.
Beliau berkara demikian dalam ucapan perasmian Kongres Nasional PKR di sini malam ini.
Beliau turut merujuk bahawa tindakan SPRM kini menyentuh tokoh-tokoh berprofil tinggi, termasuk mereka yang bergelar Tan Sri, Tun dan Datuk Seri dan ini memerlukan ruang serta sokongan agar tindakan tegas dapat diteruskan.
“Bagi saya beri ruang sekejap orang yang diamanahkan mengambil tindakan dan saya tidak ada sebab untuk mencurigai keberanian Ketua Pesuruhjaya SPRM (Azam Baki) sekarang untuk bertindak keras dan tegas kerana saya belum melihat kepada orang sebelumnya,” katanya.
Perdana Menteri turut membidas pihak yang sering mengkritik beliau, termasuk pembangkang dan aktivis sosial, kerana tidak menyokong tindakan berani SPRM ke atas golongan elit korporat.
“Tapi orang yang menegur saya lihat ada pembangkang, ada masyarakat sosial yang riuh mengkritik. Saya tidak pernah dengar dia sokong bila SPRM bertindak kepada tauke-tauke yang punya berbilion ringgit itu,” katanya .
Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana tindakan SPRM sering disalah tafsir sebagai bermotifkan dendam, sedangkan tidak ada sokongan terbuka daripada pengkritik ketika agensi itu melakukan tindakan berani.
“Tidak pun sebut malah secara senyap mereka menyokong. Saya tidak dapat terima kenyataan ini. Tidak ada sokongan, malah bila kita ambil tindakan, dikata tindakan dendam,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan Azam diberi mandat untuk terus meneraju Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tempoh setahun.
Shamsul Azri berkata, pelantikan itu dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, berkuat kuasa mulai 13 Mei sehingga 12 Mei 2026. - 24 Mei, 2025
The post ‘Saya boleh ganti Azam esok, tapi belum ada yang seberani dia’, kata Anwar appeared first on Scoop.

