“Saya Bukan Mr R” – MP PKR, Ramanan Nafi Terima RM9.5 Juta

LocalPolitics
25 Mar 2026 • 8:01 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (24 Mac) media sosial kecoh selepas media melaporkan ahli perniagaan Victor Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen (MP) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memintanya menyediakan wang tunai sebanyak RM10 juta kononnya untuk menyelesaikan isu yang didakwanya sebagai skandal ‘mafia korporat’.

Victor menerusi dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi peristiwa didakwanya itu berkata, dia bagaimanapun hanya menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal manakala baki RM500,000 tidak ditunaikan kerana isu berkenaan tidak selesai.

Pulangkan wang atau identiti MP PKR terlibat didedahkan – Victor Chin

Dia turut mengancam mahu mendedahkan identiti MP terbabit sekiranya wang itu tidak dikembalikan semula sebelum penghujung Mac, lapor MalaysiaKini.

“Saya berjaya menguruskan RM9.5 juta pada mulanya, tetapi baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kepadanya, kerana ahli parlimen ini tidak menyelesaikan isu itu. Tiada wang yang pernah diserahkan kepada kumpulan mafia korporat.

“Saya mengeluarkan pesanan kepada ahli parlimen ini: Sila pulangkan RM9.5 juta sebelum 30 Mac 2026, atau saya akan mendedahkan identiti anda,” kata Victor.

Ramanan nafi terima saham jutaan ringgit, Bukan Mr R

Terbaharu Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan pula menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau menerima saham bernilai jutaan ringgit daripada Victor.

Malah Ramanan menyifatkan dakwaan Victor yang cuba mengaitkan perkara itu dengan MP PKR sebagai naratif kotor yang bertujuan memburukkan imej parti dan MP kerajaan.

Memetik Sinar Harian, Ramanan turut menafikan beliau adalah Mr R selepas ada individu yang cuba mengaitkannya dengan isu itu.

“Saya tahu beberapa individu tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan saya dengan isu ini, dia kata saya ialah Mr R. Individu itu mendakwa ratusan juta saham dipindahkan kepada saya.

“Saya tidak mempunyai sebarang pemilikan saham. Saya tidak fikir mana-mana MP akan terlibat dengan transaksi saham bernilai ratusan juta kerana kita mempunyai Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh petang tadi (25 Mac).

Ramanan Nafi Kenal Victor Chin, Bagi Bukti Jika Benar

Ramanan dalam masa sama turut menafikan yang beliau mengenali Victor, apatah lagi pernah bertemu atau terlibat dalam konspirasi bersama ahli perniagaan itu.

“Saya tidak pernah bertemu, tidak mengenali dan tidak pernah bercakap dengan beliau. Namun, ada pihak cuba membina naratif jahat seolah-olah saya terlibat. Ini usaha untuk memecah-belahkan parti.”

Ramanan yang mengarahkan semua ketua cabang PKR di seluruh negara untuk membuat laporan polis arga siasatan dapat dijalankan turut menggesa Victor pulang ke Malaysia dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya dia mempunyai bukti atas tuduhannya itu.

“Jika benar ada bukti, pulanglah dan tampil kepada pihak berkuasa. Jangan membuat kenyataan tidak bertanggungjawab dari luar negara,” katanya, dipetik Awani.

Ramanan turut mempersoalkan kenyataaan erhubung dakwaan mengaitkan Ahli Parlimen PKR dengan Victor Chin, tanpa disokong bukti.

“Identiti MR R tak sukar untuk dirungkai” – Rafizi

Dalam pada itu, Rafizi memberi bayangan bahawa siapa sebenarnya Mr R tidak lah sukar untuk dirungkai.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa identiti MR R sebenarnya sudah boleh dinamakan namun Ramanan sewaktu sidang media tersebut lebih memberi fokus untuk menyerangnya.

“Saya dah tengok sidang media Ahli Parlimen Sungai Buloh dan juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Ramanan, pasal siapa ‘Mr R’, siapa yang dapat RM9.5 juta dari kalangan Ahli Parlimen PKR.

“Semua jawapan sebenarnya dah ada. Sebenarnya kita boleh namakan sahaja siapa ‘Mr R’ itu. Tapi dia (Ramanan) habiskan 50% sidang media tu untuk maki saya,” kata Rafizi dalam satu video yang dimuat naik di akaun media sosialnya.

Namun Rafizi memaklumakan beliau akan memberikan penjelasan lanjut berhubung perkara terbabit dalam tempoh terdekat.