‘Saya bukan penunggang macam kamu’ – Akmal Saleh tolak gesaan Tun Faisal bela Yusoff Rawther

LocalPolitics
14 Jun 2025 • 11:06 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

• Tun Faisal dakwa Pemuda UMNO hilang prinsip kerana tidak bersuara bela Yusoff Rawther
• Beliau sifatkan Yusoff sebagai simbol rakyat berani, manakala Pemuda UMNO ‘syaitan bisu’
• Akmal jawab, enggan sokong Yusoff kerana pernah menyokong Israel secara terbuka

Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan sikap membisu Pemuda UMNO dalam isu melibatkan Yusoff Rawther, anak muda yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi tanpa perlu membela diri selepas menghadapi pertuduhan serius berkait dadah dan senjata. Beliau menyifatkan kes itu sebagai bukti bagaimana institusi penguatkuasaan dan pendakwaan boleh digunakan untuk menindas rakyat biasa yang berani melawan kuasa.

Menurut Tun Faisal, Yusoff bukan ahli politik, bukan golongan kaya mahupun bangsawan, tetapi hanya seorang rakyat biasa yang berani bersuara demi prinsip dan maruah diri. Pertuduhan yang dikenakan ke atas Yusoff berisiko membawa hukuman penjara seumur hidup, namun selepas proses perbicaraan, mahkamah mendapati kes itu tidak kukuh.

Beliau turut menyindir Ketua Pemuda UMNO yang menurutnya gagal tampil bersuara walaupun jelas berlaku kejanggalan dalam siasatan dan pendakwaan kes tersebut.

“Takkan sebagai Ketua Pemuda, kamu tidak nampak sebarang kejanggalan sepanjang kes ini berjalan? Siasatan yang longgar, pendakwaan yang penuh keraguan, bukti yang dipertikai dan gagal membentuk kes prima facie?” soal Tun Faisal dalam kenyataannya di Facebook.

Malah beliau menyifatkan sikap membisu Pemuda UMNO sebagai tanda hilangnya prinsip dan maruah. Katanya, jika pemimpin muda parti itu terlalu takut kehilangan jawatan, gaji dan projek sehingga tidak mampu menyatakan pendirian terhadap isu sejelas ini, maka kepimpinan mereka “sudah mati rasa.”

“Yusoff Rawther adalah simbol anak muda berprinsip dan bermaruah. Tapi kamu, yang kononnya mewakili pemuda, memilih untuk menjadi syaitan bisu kerana terlalu selesa dalam dakapan kuasa,” katanya.

“Saya tidak sokong penyokong Israel” – Akmal Saleh

Sebagai reaksi kepada kenyataan Tun Faisal, Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh tampil memberikan penjelasan panjang lebar di Facebook. Beliau menjelaskan, walaupun bersimpati dengan nasib Yusoff Rawther, beliau tidak bersedia menyokong seseorang yang secara terbuka pernah menyatakan sokongan kepada negara Israel.

“Simpati tetap simpati… tetapi saya bukan penunggang macam kamu dan kawan-kawan kamu. Sejujurnya orang yang menyokong negara Israel ini saya tidak berminat untuk komen dan sokong, sebab beliau tidak layak mendapat perhatian saya bila ada orang menyokong Israel secara terbuka,” tulisnya yang turut menyertakan pautan laporan portal Israel National News yang menunjukkan Yusoff pernah mengeluarkan kenyataan menyokong normalisasi hubungan dengan Israel.

Menurut Akmal, penderitaan yang dialami oleh Yusoff hanyalah sebahagian kecil berbanding kezaliman berterusan yang dialami rakyat Palestin sejak puluhan tahun. Beliau turut menyatakan harapan agar Yusoff insaf dan mengubah pandangannya mengenai Israel.

“Mungkin yang dikatakan kezaliman kepada diri dia, Allah nak tunjukkan bahawa apa yang dia alami hanya satu peratus sahaja daripada kezaliman yang dirasai saudara kita di bumi Palestin.”

Akmal juga membalas sindiran Tun Faisal yang membangkitkan isu ‘Abang Belon’ dengan menyatakan bahawa kes itu kini di bawah peguam yang dipilih sendiri oleh pihak berkenaan. Beliau mempersoalkan ke mana hilangnya kempen pembelaan yang sebelum ini digerakkan secara terbuka.

Akhir kenyataan, Akmal turut memetik Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal, sebagai berkata, “Sebelum tanya mana suara Ketua Pemuda UMNO, patut tanya mana suara Ketua Pemuda kamu dulu.”