Suasana di Mahkamah Tinggi Syariah Ayer Keroh hari ini bertukar sebak apabila pasangan tular dalam kes skandal yang menggemparkan media sosial, dikenali sebagai ‘Cikgu dan Abang Wiring’, merayu agar dikenakan hukuman yang lebih ringan.
Nur Fadilah Zainal, seorang guru wanita yang juga ibu tunggal dan Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, juruelektrik berusia 31 tahun, tampil memohon belas ihsan mahkamah selepas disabitkan atas percubaan melakukan zina. Masing-masing mengakui kesalahan dan menyatakan sudah insaf atas perbuatan mereka.
Fadilah yang tampil dalam keadaan sugul memberitahu, dia kini menanggung seorang anak kecil berusia empat tahun sepenuhnya, selain menjaga ibu bapanya di kampung yang uzur. Menurut Fadilah, bapa menghidap penyakit semput manakala ibu pula kurang sihat.
“Saya mohon mahkamah kurangkan denda. Saya jaga anak seorang diri, ibu bapa pun perlukan perhatian. Saya menyesal sangat dengan apa yang berlaku,” rayunya dengan nada tersekat-sekat.
Hairul pula mengakui kehidupannya terjejas teruk selepas berita mengenai mereka tersebar. Menurutnya, projek kerja banyak terbatal dan pendapatannya semakin merosot.
“Saya betul-betul kesal. Nama saya dah tercemar, kerja terganggu. Tapi saya tetap mahu bertanggungjawab terhadap Fadilah. Saya dah bertaubat,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 kepada setiap tertuduh selepas mereka mengaku bersalah mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991. Jika gagal membayar denda, mereka akan dipenjara selama enam bulan.
Namun, kedua-duanya segera menjelaskan bayaran denda sebelum meninggalkan mahkamah menaiki kenderaan masing-masing.
Sumber: Harian Metro
The post ‘Saya dah bertaubat, saya mahu bertanggungjawab terhadap Fadilah’ – Abang Wiring appeared first on The Reporter.


