
PETALING JAYA: Pelakon, Azrel Ismail, mendedahkan dia dan pasukannya dihalau ketika menghadiri acara pertunjukan fesyen KLFW x Suria KLCC disebabkan pihak penganjur tidak peka dengan kehadiran mereka untuk membuat kandungan media sosial.
Azrel Ismail, 42, berkata, tindakan sebegitu tidak sepatutnya berlaku sekiranya pihak penganjur menyemak maklumat dan tujuan kehadiran tetamu terlebih dahulu.
“Pasukan saya dihalau sebab salah seorang wanita di situ tidak peka bahawa kami datang untuk buat kandungan. Tolong semak dan kaji dengan betul siapa yang datang dan atas urusan apa sebelum sewenang-wenangnya halau orang.
“Sejujurnya, saya memang tidak berapa berminat untuk pergi ke pertunjukan fesyen. Hari itu pun hadir sebab ada komitmen bersama KLFW x Suria KLCC,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Azrel menambah, tindakan sedemikian sangat mengecewakan kerana pasukannya sudah meluangkan masa untuk hadir ke majlis berkenaan.
“Orang bukannya teringin sangat mahu datang dan tunggu dalam keadaan panas. Banyak lagi benda lain yang boleh dilakukan dengan masa mereka,” katanya.
Untuk rekod, Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos 2026 yang bertempat di Esplanade, Taman KLCC.
The post Saya dan pasukan dihalau dari KLFW X Suria KLCC, tolong semak terlebih dahulu siapa yang datang – Azrel Ismail appeared first on Utusan Malaysia.
