
KUALA LUMPUR – Bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli mendedahkan mengenai tekanan dalaman yang dialaminya ketika menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu sesuatu yang disifatkan beliau sebagai hampir menggugat kebebasan penghakimannya.
Beliau yang baharu bersara pada Khamis lalu mengimbau mengenai perkara itu pada majlis perpisahan sempena persaraannya bersama rakan hakim, pegawai mahkamah dan tetamu kehormat di Kucing, Rabu lalu.
Mengimbas peristiwa berkenaan, Abdul Rahman memberitahu, ketika itu beliau menganggotai panel tujuh hakim dalam satu kes berprofil tinggi pada 2021 dan diminta 'toe the line' atau patuh arahan daripada hakim kanan.
“Saya diminta untuk ‘toe the line’ . Malah deraf penghakiman saya dikritik secara kasar, sehingga digelar ‘hypocritical’. Namun saya tidak berganjak dari pendirian saya,” katanya, lapor Malaysia Gazette.
Menurutnya, beliau telah menyediakan satu deraf penghakiman dan mengedarkannya kepada enam ahli panel yang lain, iaitu satu amalan standard di Mahkamah Persekutuan namun tidak lama selepas itu, Abdul Rahman menerima satu e-mel daripada seorang hakim kanan yang mengkritik keras pandangannya, malah menggunakan bahasa sinis dan condescending.
“Saya ketika itu hanyalah Hakim Mahkamah Persekutuan, bukan lagi Hakim Besar. Jadi dari segi hierarki, saya lebih junior berbanding mereka yang memberi tekanan. Deraf saya malah digelar ‘hypocritical’,” katanya.
Beliau bagaimanapun tetap berpegang teguh kepada penghakiman asalnya bahawa isu perlembagaan yang dibangkitkan dalam kes itu sepatutnya memihak kepada Kerajaan Persekutuan dan bukannya pihak litigant.
Bagaimanapun tekanan tidak terhenti di situ malah Abdul Rahman mendedahkan beliau terdengar salah seorang hakim kanan membisikkan kepada rakan panelnya untuk “crack the whip” ke atas mereka yang tidak bersetuju.
“Saya boleh bayangkan rasa sakitnya kalau betul-betul dirotan sampai patah rotan,” katanya sinis terhadap tekanan luar biasa yang dihadapinya dari dalam institusi sendiri.
Sebelum berkongsi insiden dramatik itu, Abdul Rahman berkata sepanjang kerjaya kehakimannya selama 17 tahun, beliau telah mengendalikan kes yang mencabar bukan sahaja logik tetapi juga pertimbangan moral.
"Ada yang mendapat liputan meluas, ada yang berlalu senyap. Namun kesemua itu mengingatkan saya setiap insan yang hadir di mahkamah, sama ada kaya atau miskin, berhak dilayan dengan adil, bermaruah dan penuh hormat.
"Belas kasihan bukan tanda kelemahan, tetapi kekuatan dalaman yang membezakan seorang hakim yang baik.
“Hakim yang terbaik adalah yang mampu mendengar seikhlas hati seperti mana dia membuat keputusan dengan berani. Kita mesti tegas tanpa menjadi kasar, dan sopan tanpa kelihatan lemah,” katanya.
Walaupun beliau berjaya meyakinkan tiga lagi ahli panel dan membentuk keputusan majoriti 4-3, keputusan itu tidak bertahan lama. Ia kemudiannya dibatalkan oleh panel tiga hakim baharu – dua daripadanya merupakan hakim minoriti asal.
Ironinya, penghakiman baharu itu ditulis oleh hakim yang sebelum ini membangkang keputusan majoriti.
Lebih mengejutkan, katanya, satu rancangan telah dimulakan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada beliau dan dua hakim lain yang menyokong keputusan asal. Beliau percaya hanya campur tangan Ilahi yang menggagalkan cubaan untuk menubuhkan tribunal terhadap mereka.
“Jika tidak, mungkin saya sudah bernasib seperti bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan,” katanya merujuk kepada tindakan disiplin ke atas hakim bebas terdahulu.
Beliau menyifatkan tindakan mencuba menekan hakim agar mengikut kehendak rakan sejawatan lebih tinggi bukan sahaja menyalahi etika malah menodai prinsip asas kebebasan kehakiman dan ia merupakan satu bentuk gangguan yang tidak boleh diterima.
“Kita sering bercakap tentang campur tangan eksekutif. Tetapi lebih berbahaya apabila hakim ditekan oleh rakan sejawatan sendiri. Itu adalah bentuk gangguan yang tidak boleh diterima.
“Mahkamah tidak akan benar-benar bebas jika ‘pedang Damocles’ sentiasa tergantung di atas kepala hakim,” katanya.
Pada majlid berkenaan, Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga mahkamah serta komuniti guaman Sabah dan Sarawak atas sokongan dan kerjasama mereka sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Beliau juga memuji tindakan Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, kerana mengamalkan prinsip integriti apabila menarik diri daripada satu kes atas faktor persepsi awam iaitu satu tindakan yang disifatkannya sebagai lambang integriti dan teladan kepimpinan tertinggi kehakiman.
“Kepada semua hakim dan pesuruhjaya kehakiman, saya mohon – pertahankan Perlembagaan. Ikut kata hati nurani anda. Tuhan akan bersama anda jika anda berani buat yang betul,” pesan beliau.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyampaikan pantun Iban yang menyentuh hati para hadirin:
“Pedih berserara’ nyiru ke ati, Kitak magang tetap dikenang.”
(Sedih berpisah menusuk ke hati, kalian semua tetap dikenang.)
Meskipun beliau sudah bersara, namun legasi keteguhan prinsip dan keberanian moral beliau pasti akan terus dikenang dalam sejarah kehakiman Malaysia. - 26 Julai, 2025
The post ‘Saya diminta ikut kehendak’ dedah bekas hakim Abdul Rahman Sebli appeared first on Scoop.



