‘Saya dipaksa kahwin dengan pemimpin GISBH tua, boroi’ – Anak sulung Abuya

LocalPolitics
19 Oct 2024 • 5:03 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang wanita mendakwa telah dipaksa berkahwin dengan seorang pemimpin GISBH (Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd) yang jauh lebih tua, selain turut dikhianti oleh adik-beradiknya sendiri.

Ummu Atiyyah, anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya, berkongsi pengalaman pahitnya ketika terlibat dengan kumpulan tersebut. Beliau yang kini berusia 41 tahun mendedahkan dia dipaksa berkahwin dengan seorang pemimpin kumpulan itu bernama Fadhil pada tahun 2015.

Dipaksa jadi isteri keempat

Menurutnya, perkahwinan tersebut diatur selepas kematian ayahnya pada tahun 2010, sebagai usaha memperkukuhkan kedudukan organisasi itu.

“Saya dipaksa berkahwin dengan lelaki tua, boroi yang juga salah seorang pemimpin GISBH (Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd) malah dikhianati adik beradik sendiri.

“Saya dipaksa menjadi isteri keempat kepada lelaki itu atas alasan kononnya ia merupakan perintah daripada Rasulullah SAW dan Abuya. Namun saya menolak kerana Fadhil bukan pilihan saya, lebih-lebih lagi dia jauh lebih tua dan fizikalnya tidak menarik.”

Ummu Atiyyah turut mendedahkan bagaimana dia cuba melarikan diri ke rumah rakannya di Jordan. Namun, usaha itu digagalkan apabila Fadhil dan pengikutnya, termasuk adik-beradiknya sendiri, mengganggu rumah rakannya seawal jam 1 pagi. Mereka bertindak mengugut rakannya sehingga dia terpaksa meninggalkan rumah tersebut.

Akhirnya, Ummu Atiyyah mengalah dan menjadi isteri keempat kepada Fadhil. Beliau kemudiannya dibawa ke Turki, di mana dia berhadapan dengan pelbagai penderaan fizikal dan mental.

Direndam dalam air lebih sejam

“Sepanjang tempoh itu, saya dipisahkan daripada anak saya dan hanya dapat bertemunya semula selepas dua tahun. Saya juga didera secara fizikal termasuk dicucuh dengan pemetik api dan direndam dalam kolam berulang kali kerana enggan ‘bersama’ dengan lelaki tua itu.”

Lebih menyedihkan, kata Ummu Atiyyah, penderaan itu turut melibatkan adik-beradiknya sendiri, termasuk Khaulah, yang memaksanya untuk menanggalkan pakaian di hadapan Fadhil. Beliau turut dilibas dengan getah paip.

“Saya sangat takut mati ketika direndam dalam air selama lebih sejam, sehingga akhirnya saya terpaksa mengalah dan dirogol tanpa kerelaan saya,” katanya dalam satu sidang media.

Selepas melalui pelbagai penyeksaan di Turki dan Indonesia, Ummu Atiyyah berjaya melarikan diri dan kini bertekad untuk berkongsi penderitaan yang dialaminya sepanjang berada dalam kumpulan tersebut yang menunggang agama Islam untuk memperdaya orang ramai, serta mempromosikan syarikat GISBH sebagai sebuah organisasi Islamik bagi menarik lebih ramai pelanggan.