‘Saya ditahan di Jeddah bukan sebab dadah’, Yassin Senario tampil dedah kisah sebenar

LocalEntertainment
27 May 2025 • 5:44 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Setelah lama berdiam diri mengenai isu kontroversi yang mengaitkan dirinya, pelawak Yassin Senario akhirnya tampil mendedahkan kisah sebenar di sebalik penahanannya selama enam bulan di Jeddah.

Menerusi satu rakaman audio siar, Yassin menegaskan bahawa penahanannya tiada kaitan langsung dengan penyalahgunaan dadah seperti yang ditularkan. Sebaliknya, ia berpunca daripada salah faham pihak berkuasa Arab Saudi.

“Saya menaiki penerbangan selama lapan jam ke Jeddah. Sebelum berlepas, saya terfikir bagaimana nak merokok di sana. Jadi saya beli rokok kertas, ‘grinder’, dan sekotak rokok di lapangan terbang.

“Sampai di Jeddah, beg saya diimbas ketika transit ke Madinah. Kastam nampak sesuatu dan arahkan buka beg. Dia pegang ‘grinder’ yang ada lambang mencurigakan, terus mereka selongkar semua,” jelas Yassin.

Menurutnya, beliau cuba memberi kerjasama dan menjelaskan bahawa barangan itu hanyalah berkaitan rokok, malah turut menawarkan diri untuk menjalani ujian air kencing. Namun, beliau tetap ditahan untuk siasatan lanjut.

“Saya cakap, ini rokok. Kalau ragu-ragu, boleh buat ujian air kencing. Saya suruh mutawif tinggalkan saya sebab mereka nak kejar penerbangan. Tapi saya dibawa ke bilik soal siasat,” katanya lagi.

Digari dan ditahan tanpa penjelasan jelas

Yassin menyangka dia akan dilepaskan selepas proses soal siasat, namun sebaliknya digari dan dibawa ke balai polis di Jeddah. Semua barangan peribadinya termasuk telefon dan beg dirampas, dan dia dimasukkan ke sel tahanan atas dakwaan berkaitan dadah.

Beliau juga mendedahkan pelbagai saringan yang dilalui semasa sesi soal siasat berkenaan.

“Selepas soal siasat, saya ingat akan dilepaskan. Tapi saya digari dan dibawa menaiki kenderaan polis ke balai. Beg dan telefon saya diambil. Saya dimasukkan ke sel tahanan untuk kes dadah.

“Saya tak tahu apa salah saya. Kalau lambang pada barang boleh jadi isu, patutnya saya dah ditahan sejak di Malaysia. Saya cuma berserah, berzikir dalam hati dan minta Allah tolong,” luahnya.

Dalam audio siar tersebut, Yassin turut berkongsi rasa teruja apabila dipilih menyertai rombongan umrah bersama 24 artis veteran lain.

“Saya teruja dan fikir, inilah waktunya. Saya ada kerja, tapi bila fikir balik, ini peluang yang saya tunggu-tunggu. Saya tanya isteri dan mak. Mak kata baru semalam dia doa agar salah seorang anak dapat pergi umrah. Saya rasa ini petanda,” katanya.

Disebabkan kekangan masa, beliau tidak sempat menghadiri kursus umrah, dan mengambil inisiatif belajar sendiri melalui platform YouTube.

“Saya tak sempat pergi kursus. Saya belajar guna YouTube saja dalam masa singkat. Masa itu Senario baru menang Artis Komedi Popular, jadi saya nak wakili kumpulan kami untuk berdoa,” ujarnya.