KOTA BHARU – “Saya hanya fikir kami semua akan mati malam itu.”
Demikian luahan seorang pekerja kedai batik, Nur Shairah Solehah Ahmad Norzaki, 30, menggambarkan detik cemas dilalui bersama tujuh ahli keluarganya apabila rumah mereka diserang dengan 49 das mercun stadium oleh seorang lelaki bertopeng.
Kejadian berlaku di Kampung Chepa, Kedai Lalat di sini pada jam 1.15 pagi, Isnin.
Menurutnya, ketika kejadian dia baru pulang dari tempat kerja dan sedang membersihkan solekan sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan bertalu-talu yang disangkakan tembakan ke arah rumah mereka.
**media[3597727]**
“Saya tengah cuci muka di tingkat atas, tiba-tiba bunyi letupan kuat bertubi-tubi dan sangkakan ada orang tembak rumah kami.
“Saya terus capai tiga anak kecil dan panggil ibu yang sudah terjaga serta turun ke bawah dalam keadaan menggigil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Selasa.
Nur Shairah Solehah berkata, letupan berlangsung dalam tempoh dua minit dengan biasan cahaya api berwarna merah ke arah tiga kereta yang ada di pakir depan rumah.
Sebaik keadaan kembali reda, mereka keluar rumah dan mendapati pekarangan dipenuhi kepulan asap sebelum memeriksa kamera litar tertutup (CCTV).
“Dalam rakaman itu nampak seorang lelaki datang, nyalakan mercun dan halakan ke arah rumah sebelum terus beredar.
“Ada juga saksi dari kedai makan berhampiran yang memaklumkan terlihat sebuah kereta Honda berwarna perak dipercayai digunakan suspek, namun nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan,” katanya.
**media[3597698]**
Menurutnya, kejadian itu meninggalkan trauma kepada seluruh ahli keluarganya, terutama kerana mereka tidak pernah mempunyai sebarang perselisihan dengan mana-mana pihak.
“Sampai sekarang kami masih takut. Nak keluar rumah pun rasa tidak selamat.
“Kami memang tidak bermusuh dengan sesiapa, sebab itu kami tidak tahu kenapa rumah kami diserang,” katanya.
Dia memberitahu, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dan berharap individu terbabit segera ditangkap dan kejadian sama tidak berulang.
