
PENYANYI legenda Datuk Aishah Ariffin meluahkan rasa kecewa apabila penjualan tiket Konsert Aishah 40 Chapters of Love didakwa telah disabotaj oleh pihak tertentu.
Pelantun lagu Janji Manismu dan Camar Yang Pulang itu memaklumkan bahawa beliau hanya menyedari perkara tersebut selepas dimaklumkan oleh rakan serta peminat yang tidak berjaya membuat pembelian tiket.
"Saya geram, Mungkin kena sailang. Ada peminat yang berjam-jam cuba membuat tempahan (tiket), tetapi dikatakan penuh.
“Kita tak mahu menuding jari. Cuma nak minta media sampaikan kepada peminat, tiket masih dijual pada ticketmelon.com/voxnationonlive/aishah40,” katanya.

Ditemui ketika sidang media baru-baru ini, Wan Aishah Wan Ariffin, 61, memilih untuk tidak memikirkan perkara tersebut dan menyerahkannya kepada pihak yang berkenaan.
“Selepas empat dekad, saya akhirnya berpeluang membuat konsert yang berskala besar seperti ini. Jadi, anda fikir saya ada masa untuk semua ini?
“Apa yang penting, kita teruskan konsert ini. Sama ada mahu mengambil tindakan atau tidak, terpulang selepas ini,” tuturnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang selaku penganjur tidak menafikan kemungkinan wujud unsur sabotaj dalam penjualan tiket konsert tersebut.

“Kami gembira dengan respon peminat namun agak terkilan apabila jualan tiket dikatakan sold out.
“Jadi hari ini kami nak maklumkan penjualan (tiket) masih berjalan.
“Kita kena bergerak ke depan dan kami nak maklumkan, masih ada tiket untuk peminat,” katanya.
Konsert Aishah 40 Chapters of Love yang bakal berlangsung pada 4 Julai 2026, jam 8.00 malam di Megastar Arena merupakan detik penting dalam perjalanan seni penyanyi bersuara lunak itu dalam meraikan empat dekad legasi muzik yang telah mengukir namanya sebagai antara ikon paling berpengaruh dalam industri hiburan tanah air.
Selain menampilkan kemunculan istimewa Ara Johari sebagai artis undangan, peminat setia dan pengumpul karya muzik akan menerima sebuah vinyl eksklusif edisi terhad.
Antara lagu yang bakal menggamit memori termasuk Janji Manismu dan Kemaafan Dendam Yang Terindah.
