
DUNGUN - Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) di Parlimen Dungun sedikit terganggu dengan kemunculan pengamal undang-undang, Datuk Fariz Irwan Mustafa yang pada awalnya didakwa hadir mengisi borang sebagai salah seorang calon.
Bagaimanapun, anak kepada bekas pemimpin Pas, Datuk Mustafa Ali itu dilihat keluar masuk beberapa kali dari bangunan lokasi penamaan calon di Jabatan Kerja Raya (JKR) Dungun.
Tindak tanduk lelaki berkenaan menimbulkan tanda tanya namun ketika pengumuman namanya tiada dalam senarai.
Fariz ketika dihubungi menafikan kehadirannya sebagai calon sebaliknya sebagai peguam parti Pas sekiranya berlaku sebarang bantahan atau kejadian tidak diingini.
"Saya tidak bertanding dan tiada serahan borang.
"Saya masuk dalam tu kalau jadi apa-apa kita akan ambil tindakan atas arahan parti.
"Kita bimbang sekiranya ada bantahan dari mana-mana parti yang boleh membatalkan pencalonan," katanya.
Fariz sebelum ini tular di media sosial apabila dikatakan bakal dicalonkan sebagai calon PN untuk Parlimen Dungun tetapi menyangkal dakwaan tersebut.
Parlimen Dungun kali ini menyaksikan pertandingan lima penjuru iaitu dr calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan Parikatan Nasional (PN).

