'Saya hanya ada RM500, yuran universiti RM3,000'

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2024 • 2:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Vivian (kiri) berkongsi kegembiraan bersama ibu, ayah dan adik-adiknya di hadapan rumah mereka di Kampung Pasir Parit, Chekok di Pasir Mas

image is not available
Vivian tidak dapat menahan sebak apabila PTPTN, UMK dan Yayasan Raja Shamri sudi membantunya menyambung pengajian.

image is not available
Vivian tidak dapat menahan sebak apabila mengingat kembali dia hanya mempunyai RM500 beberapa hari sebelum tarikh melaporkan diri ke UMK.

image is not available
Raja Shamri (kiri) dan Ahmad Dasuki (kanan) turut membantu Vivian membawa kelengkapan untuk mendaftar ke UMK pada Rabu.

image is not available
Ahmad Dasuki (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN berjumlah RM1,000 kepada Vivian.

image is not available
Vivian (tengah) mengadakan panggilan video bersama Pengerusi PTPTN, Norliza di hadapan rumahnya di Kampung Pasir Parit, Chekok di Pasir Mas

PASIR MAS - Seorang pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Vivian Koh Lik Ting, 20, dari Kampung Pasir Parit, Chekok di sini hanya mempunyai RM500 beberapa hari sebelum tarikh melaporkan diri ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"Saya sepatutnya daftar pada 1 Oktober lalu, tetapi duit tidak cukup. Yuran yang dikenakan oleh pihak universiti ialah RM3,000.

"Disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk tidak menyambung pengajian walaupun keputusan itu berat untuk dibuat namun hanya itu pilihan yang ada. Setiap malam saya menangis bila memikirkannya," katanya dalam nada sebak semasa ditemui pemberita pada Rabu.

Sebelum itu Vivian menerima kunjungan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diwakili oleh Ketua Eksekutif, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Pengerusi Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Husin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik) UMK, Prof Dr Mohammad Ismail.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, ayahnya, Koh Boon Ting, 45, hanya bekerja mengambil upah mengecat kereta dengan berpendapatan sebanyak RM500 sebulan sahaja, manakala ibu, Yap Ai Chen, 39, seorang suri rumah.

Ujarnya, dia turut menabung hasil bekerja di sebuah kedai kasut di Tanah Merah selepas selesai menduduki peperiksaan STPM namun masih tidak cukup untuk menampung kos menyambung pengajian.

Dia memberitahu, dua adiknya masih bersekolah di tingkatan dua dan empat manakala seorang lagi bekerja di kedai gunting rambut dan yang bongsu berusia setahun.

"Memikirkan saya tidak berkemampuan untuk meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Pelancongan, pilihan terbaik adalah menolak tawaran ini.

"Tetapi pada Ahad lepas bagaikan bermimpi apabila dihubungi Yayasan Raja Shamri memaklumkan pihak PTPTN dan UMK akan membantu saya menyambung pengajian," katanya.

Menurut Vivian, dia sangat berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu merealisasikan impiannya untuk bergelar mahasiswa.

Dalam kunjungan tersebut, dia telah menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN berjumlah RM1,000 serta pengecualian yuran sepanjang pengajian oleh UMK dan beberapa bantuan lain dari Yayasan Raja Shamri.

Tidak ketinggalan, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim turut mengadakan panggilan video bersama Vivian.