
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kes pembunuhan berprofil tinggi membabitkan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, telah menggemparkan negara suatu ketika dahulu kerana dikaitkan dengan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang mempunyai hubungan rapat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan TPM pada ketika itu.
Altantuya yang ketika itu merupakan seorang penterjemah bahasa dan model didakwa telah terlibat dalam perbincangan pembelian kapal selam Scorpene bernilai USD1.1 bilion.
Dia telah dibunuh sekitar 18 Oktober 2006, dengan jasadnya diletupkan menggunakan bahan letupan C4 di kawasan hutan berhampiran Empangan Tasik Subang di Mukim Bukit Raja, Shah Alam.
Baca Artikel Berkaitan: Akuan Bersumpah Azilah Dalam Kes Altantuya Yang Mengaitkan DS Najib Razak
Baca Artikel Berkaitan: Keluarga Altantuya Menang Saman, Kerajaan Malaysia & 3 Defendan Diarah Bayar RM5 Juta
Ayahanda Altantuya Harap Dapat Dengar Permohonan Maaf Ikhlas
Hari ini (20 Januari), media melaporkan bahawa ayah kepada Altantuya, Shaariibuu Setev, berharap agar pihak yang bertanggungjawab membunuh anaknya 20 tahun lalu mengemukakan permohonan maaf dengan ikhlas.
Dalam kenyataannya, dia berkata permohonan maaf itu perlu dikemukakan oleh pihak yang bertanggungjawab secara langsung dan bukannya daripada rakyat Malaysia.
“Sepanjang tempoh ini, ingin saya tekankan, saya hanya mencari satu permohonan maaf yang ikhlas, satu perkataan sahaja. Saya berpegang pada harapan bahawa suatu hari nanti, selepas 20 tahun, saya akan mendengar permohonan maaf mengakui perbuatan salah yang menyalahi undang-undang,” katanya.
“Siapa Beri Arahan Kepada Azilah Hadri?” – Shaariibuu
Dalam masa sama, Shaariibuu turut berharap agar bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri, memberitahu siapakah individu yang telah mengeluarkan arahan untuk membunuh anaknya.
“Saya ingin mendengar daripada Cif Inspektor Azilah Hadri, siapa yang memberikan arahan kepadanya. Itu akan menjawab semua persoalan saya.
“Apabila kebenaran itu telah ditetapkan di sisi undang-undang di hadapan mahkamah, maka tiada jalan lain, selain satu permohonan maaf dan saya berharap untuk mendapat jawapan itu,” katanya dipetik Berita Harian.
Dia juga dilaporkan berkata bahawa permohonan maaf rasmi itu bukan hanya ditujukan kepadanya, tetapi buat kerajaan dan semua rakyat Mongolia.
Mahkamah Rayuan Kurangkan Jumlah Ganti Kepada Keluarga Altantuya
Berdasarkan laporan media, Shaariibuu yang mengikuti prosiding keputusan jumlah ganti rugi menerusi aplikasi Zoom, berkata demikian selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberi jumlah ganti rugi RM5 juta kepada keluarga Altantuya.
Dalam keputusan mahkamah itu, jumlah ganti rugi RM5 juta yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Februari 2025 telah dikurangkan menjadi RM1.4 juta.
Ini merangkumi ganti rugi teruk berjumlah RM1 juta, tuntutan tanggungan RM384,000, perbelanjaan berkabung RM10,000 dan perbelanjaan pengebumian RM15,000 yang perlu ditanggung oleh kerajaan dan Abdul Razak.
Ganti Rugi Dikurangkan Kerana Bukan Tanggungan Vikarius Kerajaan
Keputusan itu dibuat atas dasar kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan secara tanggungan vikarius kerana pembunuhan Altantuya tidak dilakukan dalam perjalanan tugas Azilah dan anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar selaku polis ketika itu.
Sebaliknya mereka melakukan perbuatan itu sebagai urusan peribadi yang dimulakan oleh Abdul Razak.
Sebagai info, Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa, serta anak, Mungunshagai, telah mengemukakan tuntutan saman sivil berhubung kematian Altantuya atas dakwaan wujud konspirasi di sebalik pembunuhan anak perempuannya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan saman yang difailkan mereka pada 16 Disember 2022, manakala Azilah dan Sirul Azhar tidak merayu terhadap keputusan berkenaan.
