KUALA TERENGGANU – "Api marak dengan sangat cepat, saya hanya fikirkan keselamatan anak dan sempat mencapai sebuah televisyen sahaja."
Demikian kata Norhaslina Awang, 52, selepas rumah pusaka didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Buluh Gading di sini pada malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, dia yang juga pekerja kedai makan sedang menonton televisyen bersama anak bongsunya, Nor Fatihah Najwa Asmadi, 13, yang merupakan remaja sindrom down.
Menceritakan detik cemas, Norhaslina berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas dikejutkan dengan jeritan abangnya, Ayujefy Awang, 54, yang tinggal bersebelahan.
"Abang menjerit beritahu ada kebakaran di rumah belakang. Saya terus tarik anak keluar untuk menyelamatkan diri.
"Abang cuba padamkan api dengan menyembur air, tapi gagal sebab api terlalu cepat merebak," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
**media[3488111]**
Menurut Norhaslina, dia turut mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan akibat melecur selepas nekad masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil telefon bimbit anak bongsunya di bilik belakang.
Katanya, ketika kejadian, anak sulungnya, Nur Natasha Najwa Asmadi, 18, tiada di rumah.
"Rumah ini adalah rumah pusaka keluarga dan saya menetap di sini sejak kecil lagi. Kebakaran dipercayai bermula dari rumah anak saudara di bahagian belakang sebelum menyambar rumah saya, tapi waktu itu mereka tiada di rumah," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.35 malam dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
"Kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis separuh kekal dengan anggaran kemusnahan sekitar 90 peratus.
"Seorang mangsa wanita dewasa mengalami kecederaan pada jari dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.
"Seorang lelaki dan dua lagi wanita dewasa yang terlibat dilaporkan selamat. Api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 10 malam," katanya.
