'Saya harap apa yang dilalui tidak berlaku kepada musuh politik' - Syed Saddiq

LocalPolitics
25 Jun 2025 • 12:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Menurut Syed Saddiq, sepanjang lima tahun perjalanan turun naik mahkamah, beliau berdepan dengan pelbagai tekanan termasuk cubaan mencemarkan integriti dirinya.

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] “Saya berharap apa yang saya lalui tidak dilalui oleh musuh-musuh politik,” kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sejurus keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepadanya.

Menurutnya, sepanjang lima tahun perjalanan turun naik mahkamah, ia boleh disifatkan sebagai tempoh paling sukar dengan pelbagai tekanan termasuk cubaan mencalar integriti beliau.

“Saya ingat detik-detik awal digertak, tetapi saya tidak takut kerana tahu di pihak yang benar.

“Hendak tawar apa pun, ugut apa pun, tak mengapa kerana akhirnya saya sebagai kenderaan kecil boleh tukar bila-bila masa,” katanya menerusi sidang akhbar selepas prosiding mahkamah selesai.

Beliau berkata, perjalanan yang dilalui turut memberi kesan hebat kepada keluarga.

“Ibu bapa disoal siasat, saya sebagai anak rasa bersalah kerana tekanan. Ibu pula sekali lagi disahkan menghidap penyakit kanser,” jelas beliau.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berpendirian bahawa mahkamah merupakan jalan terbaik untuk membersihkan namanya.

“Pelbagai tawaran saya terima ditolak untuk membersihkan nama di mahkamah kerana mahkamah benteng terakhir untuk rakyat yang disalahi dan dikhianati,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut merakamkan ucapan penghargaan kepada pasukan peguam yang bertungkus lumus sehingga keputusan memihak kepadanya.

“Saya perlu ucapkan terima kasih kepada barisan peguam. Ini bukan setakat memenangi kes di mahkamah tetapi dari awal berada di pihak yang benar,” katanya.

Terdahulu, sejurus menerima keputusan, Syed Saddiq bersama ibu dan bapanya melakukan sujud syukur di ruang legar Istana Kehakiman.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved