
Saya Harap Kim Pan Gon Kekal Dengan Malaysia – Son Heung-min
Kapten Korea Selatan yang juga tonggak utama Tottenham Hotspurs, Son Heung-min berharap Kim Pan Gon terus kekal melatih Harimau Malaya di masa akan datang.
Beliau berkata demikian dalam satu temu ramah bersama Astro Arena selepas tamat pertemuan Harimau Malaya menentang Taegeuk Warriors.
“Saya sangat gembira dan bangga dengan dia (Kim Pan-gon). Saya berharap dia akan terus menabur bakti di Malaysia dan mampu memperbaiki mutu bola sepak di sana,” katanya.
Tambah Son, dia mempunyai hubungan yang baik dengan jurulatih dari Korea Selatan itu.
“Kami ada hubungan yang baik dan pernah bekerjasama dalam tempoh beberapa tahun. KPG seorang yang menakjubkan dan ada semangat bola sepak yang luar biasa.
“Seri bukan satu keputusan yang buruk untuk Malaysia dan KPG sebenarnya telah melakukan kerja yang luar biasa untuk beberapa tahun ini,” ujarnya lagi.
Demi Lencana Di Dada
Meskipun sudah tersingkir, pemain berusia 31 tahun itu memuji pemain Malaysia yang menampilkan corak permainan yang memukau hingga tamat perlawanan.
“Sudah tentu, kami menjangkakan segala-galanya boleh berlaku dalam bola sepak. Tetapi Malaysia bermain dengan sangat baik dan mereka berjuang hingga ke wisel penamat.
“Saya sangat gembira untuk mereka tetapi apabila anda melihat pasukan kami, saya rasa ada banyak perkara yang perlu kami perbaiki.
“Baik barisan pertahanan mahupun serangan, segalanya dari semua aspek,” tambah Son.
Sengaja Seri Untuk Elak Skuad Blue Samurai?
Son dalam pada itu turut menafikan Korea Selatan sengaja seri kerana mahu mengelak daripada bertemu Jepun di pusingan 16.
Dalam perlawanan semalam, Malaysia berjaya mengikat pasukan ranking 23 dunia itu dengan keputusan 3-3.
Terdahulu, Korea Selatan mendomonasi perlawanan tersebut dengan pemain tengah, Jeong Woo-yeong membuka jaringan pada mini ke-17. Gol tunggal tersebut bertahan sehingga tamat separuh masa pertama.
Walau bagaimanapun, skuad Kim Pan Gon turun dengan aksi yang lebih menyakinkan dan gol penyamaan terhasil menerusi gelecekan cantik Faisal Halim pada minit ke-51.
Malaysia mendahului Korea 2-1 apabila meraih sepakan penalti selepas Aiman Mohd Hanapi dikasari pertahanan lawan. Arif Aiman tenang menyudahkan sepakan penalti tersebut.
Namun, kegembiraan penyokong ekor Harimau Malaya tidak bertahan lama apabila pemain Paris-Saint German, Lee Kang In menyamakan kedudukan.
Bintang PSG itu berjaya menyumbat gol kedua itu menerusi sepakan percuma cantik.
Perlawanan semakin mendebarkan apabila Korea Selatan dihadiahkan penalti pada masa kecederaan.
Son Heung-min kemudian menjalankan tanggungjawabnya untuk membolehkan Korea Selatan kembali di depan.
Ketika perlawanan seakan-akan berkesudahan 3-2, pemain gantian, Romel Morales muncil wira apabila menyamakan kedudukan 3-3 pada penghujung masa kecederaan.
Keputusan itu menyaksikan Korea Selatan layak ke pusingan seterusnya selaku naib juara kumpulan dengan mengumpul lima mata.
Manakala Malaysia mengakhiri kempen Piala Malaysia di tangga tercorot Kumpulan E dengan mengumpul satu mata.
"Saya berharap dia (Kim Pan-gon) akan tetap menabur bakti di Malaysia dan mampu memperbaiki mutu bola sepak Malaysia."
Kapten Korea Selatan, Son Heung-min mengakui skuad negara bermati-matian hingga ke wisel penamat dan berhak membawa pulang 1 mata berharga. #PialaAsia2023 pic.twitter.com/1JGBK5wqbT
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) January 26, 2024
Sumber: Astro Arena
The post Saya Harap Kim Pan Gon Kekal Dengan Malaysia – Son Heung-min appeared first on Siakap Keli.

