
JOHOR BAHRU – Seorang remaja berdepan detik cemas apabila diserang sekumpulan anjing liar ketika keluar keluar membeli ubat untuk adiknya yang sedang demam di kawasan Perumahan Rakyat Lima Kedai di sini semalam.
Menurut mangsa, Mohammad Aliff Najmi Mohd. Razi, 15, berkata, semasa turun dia terdengar salakan anjing liar berkenaan namun tidak menyangka haiwan itu terus datang menyerangnya.
“Saya nampak dalam lapan ekor anjing yang cuba menyerang saya, saya lari dari Blok C ke Blok L nak selamatkan diri, tetapi saya terjatuh.
“Dua ekor anjing besar datang terus serang saya, seekor sempat gigit kaki, saya tak fikir apa dah menjerit minta tolong sekuat hati sambil menendang kepala anjing.
“Anjing lepaskan gigitan dan terus saya lari naik tingkat atas Blok L. Tak lama kemudian kawan saya datang tolong dan beberapa penduduk dengar halau anjing tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurut Mohammad Aliff, kejadian itu merupakan kali pertama dia berdepan detik hitam itu dan mengakui trauma apabila mengenangkan kejadian menimpa dirinya.
Sementera itu, ibu mangsa, Norazila Abdul Salam, 44, semasa kejadian, anak ketujuh daripada lapan beradik itu turun ke kedai berhampiran untuk membeli ubat demam adik bongsunya.
“Saya tunggu lama dekat dua jam, fikir ke manalah si Aliff ini pergi, tak lama kemudian ada kawan dia datang beritahu anak saya kena gigit anjing.
“Saya terkejut dan cemas sebelum anak saya dibawa balik dalam keadaan berlumuran darah pada bahagian kaki, darah keluar tak berhenti-henti sebelum bawa anak ke klinik berdekatan,” katanya.
Dalam pada itu, menurut ibu tunggal itu, dia berharap agar pihak berkuasa khususnya pihak berkuasa tempatan segera melakukan tindakan menangkap anjing liar ini.
Katanya, tindakan itu bagi mengelakkan kejadian lebih buruk sehingga boleh meragut nyawa mangsa yang lain. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya jerit sekuat hati, tendang sekuat hati anjing itu’ appeared first on Kosmo Online.
