“Saya Juga Berang, Setiap Minggu Berlaku Gangguan Tren” – Anthony Arah Prasarana Tingkat Standard Penyelenggaraan

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 6:11 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: “Saya Juga Berang, Setiap Minggu Berlaku Gangguan Tren” – Anthony Arah Prasarana Tingkat Standard Penyelenggaraan

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak belakangan ini, seringkali terdengar isu melibatkan gangguan operasi dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT).

Situasi sebegini kadangkala dilihat menyusahkan pengguna lebih-lebih lagi jika ia berlaku pada waktu puncak.

Keadaan itu sekaligus menyebabkan tempoh perjalanan menjadi lebih lama malah mengganggu jadual sedia ada.

MOT Arah Prasarana Tingkat Standard Penyelenggaraan

Terbaharu, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk mengambil tindakan segera dalam meningkatkan standard penyelenggaraan tren.

Ia bertujuan untuk mengurangkan gangguan perkhidmatan yang sering berlaku sejak akhir-akhir ini.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pihaknya menyedari kekerapan gangguan yang berlaku sejak beberapa minggu lalu sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna.

Anthony Loke Sendiri Turut Kecewa Dengan Gangguan Tren Yang Kerap Berlaku

Malah, beliau sendiri turut meluahkan rasa kecewa dengan keadaan tersebut apatah lagi pada ketika ini kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

“Saya juga berang kerana hampir setiap minggu berlaku gangguan. Apabila kita galakkan orang ramai guna tren, sudah tentu mereka akan persoalkan apabila perkhidmatan sering terganggu.

“Namun, gangguan ini bukan sesuatu yang kita mahukan. Ia melibatkan isu teknikal yang sedang diberi perhatian serius,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.

Tegur Prasarana Tingkat Aspek Penyelenggaraan Teknikal

Jelas beliau, pihaknya telah menegur Prasarana untuk meningkatkan aspek penyelenggaraan serta penyeliaan teknikal sebagai usaha untuk mengurangkan gangguan.

Terang Anthony lagi, walaupun penambahbaikan telah dibuat namun terdapat insiden luar jangka yang boleh menjeaskan operasi tren antaranya seperti kerosakan suis dan sistem isyarat.

“Kadangkala berlaku perkara di luar jangka seperti kerosakan suis yang menyebabkan stesen tidak dapat berfungsi dengan baik, sekali gus mengganggu perkhidmatan tren.

“Ini merupakan cabaran besar, namun saya telah mengarahkan Prasarana untuk memberi perhatian lebih serius terhadap isu teknikal bagi memastikan perkhidmatan lebih terjamin,” katanya.

Terdahulu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarah untuk membuat siasatan berhubung kejadian gangguan berulang yang berlaku dalam perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada awal Ramadan lalu.

Malah, Anthony juga telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Prasaran untuk memberi penjelasan dalam mesyuarat pasca Kabinet serta pelan tindakan pemulihan berhubung insiden terbabit.

Baca Artikel Berkaitan:

Isu Gangguan LRT Kelana Jaya: Anthony Loke Arah APAD Siasat, Gesa Prasarana Beri Penjelasan [Video]