
KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial terkenal, Wee Yun Nee atau lebih dikenali sebagai Mekyun, tampil mempertahankan diri susulan penularan sekeping gambar yang didakwa menunjukkan dirinya merangkul lengan personaliti media sosial, AndrianMrPov.
Mekyun, 29, menegaskan bahawa imej tersebut bukanlah gambar sebenar, sebaliknya merupakan hasil janaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Cuma nak jelaskan, gambar yang tengah tersebar ini AI ya, bukan saya. Lain benar muka saya. Harap kalian jangan sesuka hati guna AI untuk buat dan kongsi benda macam ini,” katanya menerusi hantaran di aplikasi Threads.
Menurutnya lagi, individu yang mengenali dirinya sedia maklum tentang prinsip yang dipegang, khususnya dalam menjaga batas pergaulan dan maruah diri.
“Siapa yang kenal saya tahu saya memang jaga batas bab ini. Terima kasih atas pemahaman,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang reaksi simpati daripada orang ramai yang rata-rata mengecam tindakan pihak yang menghasilkan dan menyebarkan imej palsu berkenaan.
Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kasihan terhadap Mekyun sambil menasihatkan netizen agar tidak terlalu fanatik sehingga melanggar batas privasi individu lain.
“Alahai, kasihan Mekyun. Netizen pun janganlah fanatik sangat ya, tak baik,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna turut mengkritik perbuatan tersebut sebagai tidak menghormati privasi orang lain dan melampaui batas.
Sebelum ini, hubungan rapat antara Mekyun yang berasal dari Kelantan dan AndrianMrPov menjadi perhatian netizen selepas tular video mereka keluar makan bersama. Situasi itu mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat yang ‘merestui’ sekiranya kedua-duanya menjalin hubungan istimewa.
Bagaimanapun, penjelasan terbaharu daripada Mekyun diharap dapat meredakan kekeliruan serta menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial. – MYBERITA
