
LIPIS – Seorang wanita runsing memikirkan nasib anak sulungnya, Izmi Norazmi, 19, yang akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dengan Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana berdepan tekanan kewangan.
Haryati Ba’alya, 40, berkata, keadaan kewangan keluarganya terhad apabila dia yang menghidap penyakit buah pinggang kronik perlu menjalani rawatan dialisis selain perlu mengambil suntikan bagi menambah darah setiap bulan dengan kos melebihi RM400.
Menurutnya, walaupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menanggung sebahagian kos rawatan, dia masih perlu menambah lebih RM150 bagi setiap suntikan.
Dia yang hanya berniaga kuih dikala mempunyai kudrat mengakui hanya memperoleh pendapatan sekitar RM500 sebulan.
“Saya juga menjaga ibu yang turut menghidap diabetes sejak lima tahun lalu dan dia menjalani pembedahan membuang ibu jari kaki kira-kira sebulan lalu selepas mengalami jangkitan serius akibat tertusuk tulang ayam.
“Doktor turut menyarankan mak memakai kasut khas bagi memudahkan pergerakan dan mengelakkan komplikasi lain pada kaki, namun kami masih belum mampu menyediakannya kerana kekangan kewangan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Haryati berkata, dia turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM450, namun jumlah itu masih belum mencukupi bagi menampung kos rawatan, perbelanjaan harian dan keperluan tiga anaknya.
“Saya resah memikirkan perbelanjaan tambahan bagi urusan pendaftaran dan kelengkapan belajar anak sulung, dalam masa sama mahu pastikan impiannya menyambung pengajian tidak terhalang kerana masalah kewangan,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 011-1297 3288 atau menyalurkannya sumbangan ke akaun Maybank, 106110021997 atas nama Haryati Ba’alya.
The post ‘Saya menderita sakit buah pinggang, anak pula akan masuk UPSI’ appeared first on Kosmo Digital.
