'Saya mesej dia setiap hari, sedekahkan al-Fatihah'- Amyza Aznan lepaskan rindu di pusara anak, dedah sebab pakai shawl sama

LocalFamily & Parenting
5 Mar 2026 • 9:22 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KEHILANGAN insan tersayang bukan sekadar tentang perpisahan, tetapi perjalanan panjang untuk belajar hidup dengan rindu yang tidak pernah benar-benar hilang.

Itulah fasa yang sedang dilalui pelakon berpengalaman, Amyza Aznan, selepas pemergian anak sulungnya, Andre Mikhail, baru-baru ini.

Di sebalik senyuman yang masih mampu diukir, hati seorang ibu tetap bergelut mencari ruang untuk menyesuaikan diri dengan realiti baharu, hidup tanpa anak yang selama ini menjadi sebahagian besar dunianya.

Menerusi perkongsian dalam satu temu bual video bersama mStar, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2019 itu mengakui dirinya sudah reda dengan ketentuan Ilahi, namun proses memujuk hati bukan sesuatu yang mudah.

“Saya masih lagi mencari jalan untuk sesuaikan diri. Reda memang dah reda… cuma nak hilangkan rindu itu.

"Saya tengah cuba cari macam mana supaya rindu itu tak terlalu berat,” katanya jujur.

Menurut Amyza, sebagai seorang Muslim, dia menerima pemergian anaknya sebagai qada dan qadar yang telah ditentukan Tuhan.

“Of course saya reda. Ini semua ketentuan ALLAH, memang dah tertulis.

"Saya bersyukur sebab dia pergi dalam bulan yang sangat baik dan ramai orang sedekahkan doa untuk dia. Itu yang sedikit sebanyak ubat hati saya,” ujarnya.

Bagi Amyza, rindu bukan sesuatu yang boleh disimpan lama. Hampir setiap hari dia menziarahi pusara arwah Andre kerana itulah caranya berhubung dengan anak yang sudah pergi.

“Memang hari-hari saya pergi kubur sebab rumah dekat. Saya rindu… jadi itu cara saya lepaskan rindu.

"Saya berbual dengan dia, sedekahkan Al-Fatihah,” katanya.

Perkongsian ziarah tersebut turut dimuat naik di media sosial bukan sekadar untuk berkongsi kesedihan, tetapi dengan satu harapan, agar lebih ramai turut menghadiahkan doa buat arwah.

“Saya upload supaya orang yang tengok boleh sedekahkan doa. Saya tahu pasti ada yang mendoakan Mikael,” katanya lagi.

Dalam suasana kehilangan itu, dua adik Andre dikatakan pernah bermimpi tentang arwah, sesuatu yang memberi sedikit ketenangan kepada keluarga.

image is not available

Menurut Amyza, anak keduanya Adrian dan Aiden masing-masing pernah didatangi arwah dalam mimpi, namun dia sendiri masih belum mengalaminya.

“Sudah tentu kita nak dia datang dalam mimpi. Rindu nak jumpa… tapi mungkin belum diizinkan lagi,” katanya penuh harap.

Adrian menceritakan arwah muncul dalam mimpi sedang memandu kereta bersama datuknya, manakala Aiden pula melihat abangnya sekadar tersenyum memandangnya.

Walaupun hanya mimpi, kisah itu cukup memberi makna buat keluarga yang masih cuba menerima kenyataan kehilangan.

Menyimpan kenangan

Hampir setiap sudut rumah masih menyimpan kenangan Andre. Amyza mengakui dia belum bersedia mengemas barang-barang milik anaknya.

Gitar, piano, pakaian dan segala benda kesayangan arwah masih berada di tempat asal.

“Satu pun saya tak kemas lagi. Biar saja,” katanya ringkas.

Lebih menyentuh hati, selimut, bantal dan pakaian terakhir arwah juga masih disimpan tanpa dibasuh kerana masih mempunyai bau anak kesayangannya.

“Ada bau dia… biar je lah,” luahnya perlahan.

Amyza turut berkongsi kenangan yang sukar dilupakan apabila Andre sempat bertanya tentang pakaiannya dua hari sebelum meninggal dunia, ketika keluarga menyangka dia bakal dibenarkan pulang dari hospital.

Namun siapa sangka, keadaan kesihatan anaknya merosot secara tiba-tiba keesokan hari.

“Itu yang dia pakai selimut Spider-Man tu… sebenarnya baju dia dah saya bawa balik basuh,” katanya, menahan emosi.

Dalam usaha menenangkan hati, Amyza mempunyai cara tersendiri, dia masih menghantar mesej kepada nombor telefon arwah.

Bukan sekadar luahan kosong, tetapi mesej berisi doa.

“Saya mesej macam ‘Assalamualaikum anak, Al-Fatihah anak mami’. Saya sedekahkan Al-Fatihah melalui mesej itu,” katanya.

Walaupun tahu tiada balasan, ritual kecil itu menjadi terapi emosi buat seorang ibu yang sedang belajar menerima kehilangan.

image is not available

Shawl kenangan terakhir

Perhatian warganet turut tertumpu kepada satu perkara kecil tetapi penuh makna, ibu kepada tiga cahaya mata itu sering dilihat memakai shawl yang sama dalam banyak kemunculannya.

Rupa-rupanya, selendang tersebut merupakan kenangan terakhir bersama Andre Mikhail.

“Ramai rupanya perasan. Saya pakai shawl yang sama sebab itulah kenangan akhir saya dengan arwah,” tulisnya di media sosial.

Namun dalam kesedihan, dia masih mampu berseloroh lembut.

“Tapi saya basuh tau walau pakai hari-hari,” katanya sambil tersenyum.

Ujian berganda seorang ibu

Untuk rekod, Andre Mikhail menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 10.30 malam selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.

Berita pemergiannya dimaklumkan sendiri oleh Amyza menerusi Instagram Stories.

Lebih menyentuh hati, ujian keluarga itu tidak terhenti di situ apabila anak keduanya, Adrian Adam, turut disahkan menghidap kanser tulang pada usia 18 tahun, perkhabaran yang mengejutkan ramai peminat dan rakan industri.

Namun di sebalik dugaan bertimpa, dia terus menunjukkan kekuatan seorang ibu, menerima takdir dengan reda, sambil perlahan-lahan belajar hidup bersama rindu yang akan sentiasa ada.

Kerana bagi seorang ibu, kehilangan mungkin memisahkan jasad, tetapi kasih sayang tidak pernah berakhir.