
SIAPA yang tidak kenal dengan kelunakan suara Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah yang selama berdekad-dekad membuai perasaan peminat dengan naskhah malar segar.
Namun, sambutan ulang tahun kelahirannya pada 7 Mei kali ini nampaknya meninggalkan kesan yang agak mendalam dan menghibakan buat para peminat setianya.
Segalanya bermula apabila seorang pengguna media sosial, dmfhusaini, berkongsi detik sayu ketika menghadiri sebuah konsert anjuran Mara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini.
Suasana yang sepatutnya meriah dengan nyanyian lagu hari lahir tiba-tiba bertukar hiba apabila Jamal secara terbuka meluahkan hasrat untuk mengundurkan diri daripada pentas seni yang telah membesarkan namanya.
Dalam nada yang cukup tenang namun tegas, penyanyi yang kini mencecah usia 67 tahun itu mengakui rasa penat mula menyelubungi diri selain menyedari faktor usia yang menuntutnya untuk berehat.

"Saya nak bersaralah rasanya sempena hari jadi ni. Menyanyi pun dah tak ada feel. Biarlah generasi anak-anak yang meneruskan.
"Lagipun dah 67 tahun. Rasa macam dah penat," kongsi Jamal dalam ucapan selingannya yang membuatkan ramai penonton tersentak.
Perkhabaran mengejut itu pantas mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya mengakui sukar untuk menerima kenyataan bahawa industri muzik bakal kehilangan sebutir permata yang tiada galang gantinya.
Walaupun berat hati, ramai yang menyokong keputusan tersebut demi ketenangan dan ruang buat Jamal meluangkan waktu bersama keluarga tercinta, terutama anak-anaknya yang masih kecil.

Malah, peminat juga melihat kualiti vokal Jamal yang masih bertenaga sehingga kini sebagai satu standard yang cukup tinggi untuk dicapai oleh mana-mana penyanyi generasi baru.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warga maya menyifatkan Jamal Abdillah akan kekal sebagai Raja Pop Malaysia yang tiada galang ganti namun tetap menyokong keputusan tersebut agar beliau dapat menikmati kehidupan dengan lebih tenang.
Ada juga yang berpendapat bahawa pengalaman luas yang dimiliki beliau sangat berharga dan berharap agar beliau dapat terus menyumbang bakti sebagai juri profesional sekiranya tidak lagi mahu beraksi secara aktif.
Kehadiran anak-anak beliau seperti Zaki Yamani dan Osama Yamani pula dilihat sebagai penyambung legasi yang paling tepat buat masa ini.
Peminat juga meluahkan rasa kagum terhadap stamina beliau yang masih bertenaga dan mampu mengekalkan kualiti vokal pada usia emas, sekali gus menyifatkan beliau sebagai seorang legenda hidup yang sebenar.

"He will remain the best Pop King of Malaysia, tiada galang ganti, the best decision is made while ure still able to carry on with life dengan tenang dan focus on what truly matters. Terbaik DJA. Semoga sentiasa dlm lindungan ALLAH."
"Dia ada dapat pengganti... Zaki dah boleh teruskan legasi,Yamani juga... Datuk Jamal boleh lah jadi juri... Sebab kita masih perlukan pengalaman beliau... Tapi kalau beliau menolak, kita terimalah dengan hati terbuka."
"Anak dia dah boleh support. Kasi anak dia je teruskan legasi."
"Let him rest. He can sing if he want. Tapi kalau dia nak retire let him. Dah lama dia menghiburkan orang. Bagi lah dia rehat dan, dihiburkan. May ALLAH ease Dato Jamal.."
"Umur dah 67 tahun tapi Dato Jamal masih nyanyi dengan energetic. Key lagu pun masih maintain dgn original. Dato Jamal memang truly living legend."
"Dia pun dah tua... Eloklah berehat, layan anak dia yang masih kecil tu... Anak-anak dia yang dah besar kan ada, penyanyi juga."
Secara keseluruhannya, ramai yang mendoakan agar urusan beliau dipermudahkan dan menyokong penuh hasrat beliau untuk berehat sepenuhnya serta meluangkan masa berkualiti melihat anak-anak membesar di depan mata.
Bagi mereka yang masih merindui persembahannya, mungkin inilah masanya untuk menghargai setiap peluang yang ada sebelum beliau benar-benar meletakkan mikrofon buat selamanya.
